• Regatta Sarawak Tawar Hadiah RM240,000

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    KUCHING : Regata Sarawak edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM240,000.

    Ia diadakan bersempena Festival Regata Sarawak-Tebingan Kuching yang berlangsung dari 10 hingga 19 November.

    Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia & Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sebanyak 17 kategori lumba perahu akan dipertandingkan melibatkan 26 peringkat saringan dan 17 peringkat akhir.

    "Pemenang Raja Sungai akan membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM10,000.

    "Tarikh penjualan borang penyertaan akan dibuka pada 9 Oktober (Isnin) di Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 27 Oktober," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai penganjuran Festival Sarawak Regatta-Kuching Waterfront 2017 di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

    Tambah Karim, dua acara terbesar iaitu International Dragon Boat Race dan Perlumbaan Perahu Regata Sarawak yang merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak akan memeriahkan lagi festival berkenaan.

    "Pada tahun ini sebanyak 10 negara akan menyertai Dragon Boat Race iaitu antaranya Brunei, China, Hong Kong, Bangladesh, Australia, India, Filipina dan Singapura.

    "Apa yang menarik tahun ini adalah kali pertama negara India dan Bangladesh menghantar pasukan mereka untuk acara Dragon Boat Race," ujarnya.

    Upacara ‘Eye Dotting’ untuk memulakan International Dragon Boat Race telah dijadualkan pada 11 November 2017 dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Selain itu, acara kemuncak Regata Sarawak untuk merebut gelaran Raja Sungai dijadualkan pada 19 November 2017 dan akan disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

    Pengisian acara lain seperti persembahan kebudayaan, pertandingan karaoke, pertandingan gendang, pertandingsn muzik kreatif, pertandingan waterfront idol, persembahan buskers dan nyanyian penyanyi tempat juga turut diadakan. - Sarawakiana
  • No Comment to " Regatta Sarawak Tawar Hadiah RM240,000 "