• Rawatan Hepatitis C 20 ganda lebih murah

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Bermula hujung tahun ini, rawatan bagi penyakit Hepatitis C akan diperoleh dengan kos 20 ganda lebih murah daripada harga sekarang.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ini berikutan penghasilan ubat generik bagi penyakit berkenaan.

    Beliau berkata, keputusan menghasilkan ubat generik itu dibuat selepas Jemaah Menteri meluluskan pelaksanaan Hak Kerajaan Di Bawah Akta Paten 1983 (Akta 291) dengan menggunakan hak reka cipta yang dipatenkan iaitu bagi tablet Sofosbuvir 400 miligram (mg).

    "Isu yang dihadapi ketika ini adalah ubat yang ada untuk rawatan penyakit itu terlampau mahal kerana dipatenkan oleh syarikat asal. Rawatan untuk seorang pesakit Hepatitis C ketika ini boleh mencecah sehingga RM50,000 seorang.

    "Kerajaan tidak mampu menampung kos itu, maka kita cari jalan lain untuk meningkatkan akses terhadap rawatan penyakit ini.

    "Dengan ubat generik ini, kos rawatan penyakit ini adalah RM500 bagi seorang pesakit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Dr Subramaniam berkata, keputusan melaksanakan Hak Kerajaan itu dibuat selepas usaha seperti permohonan disenaraikan dalam Medicine Patent Pool (MPP) dan rundingan harga bersama pemegang hak paten tidak berhasil.

    "Bagi fasa permulaan ini, penggunaan ubat generik ini adalah di 12 hospital kementerian saja dan pemilihan pesakit untuk rawatan mengikut garis panduan klinikal yang dibangunkan pakar perubatan," katanya.

    Beliau berkata, kali terakhir Malaysia melaksanakan Hak Kerajaan itu adalah pada 2003 bagi ubat antiretroviral untuk rawatan jangkitan HIV.

    Sehingga kini, katanya, jumlah pesakit Hepatitis C di Malaysia mencecah 500,000 dengan anggaran 2,000 kes baharu setiap tahun.

    Subjects:

  • No Comment to " Rawatan Hepatitis C 20 ganda lebih murah "