• Rashford Jelmaan Rooney & Owen

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    LONDON: Pengurus England, Gareth Southgate menyatakan beliau melihat kelibat bekas wira kebangsaan Wayne Rooney dan Michael Owen dalam diri pemain remaja Manchester United, Marcus Rashford.

    Rashford, 19, meledak satu gol dan mencipta satu lagi ketika England bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Slovakia 2-1 kelmarin, yang membantu mereka menghampiri kelayakan ke Piala Dunia.

    Rooney dan Owen masing-masing menyumbat 53 dan 40 gol buat England sesudah tampil ketika remaja dan Southgate percaya Rashford mempunyai kematangan diperlukan untuk mengikut jejak langkah mereka.

    “Saya pasti dia boleh dibandingkan dengan Rooney dan Owen,” tegas Southgate.

    “Jelas dia seorang pemain yang berbeza. Dia matang dari segi memahami permainan dan cara dia menerima konsep.

    “Terpulang kepadanya sekarang. Dia mempunyai pentas hebat untuk melonjakkan diri. Dia mempunyai pengaruh kuat di kelabnya kerana ada Jose (Mourinho) yang boleh membantunya supaya tidak cepat bongkak dan kami akan melakukan perkara sama di sini.”

    Rashford mengetuk pintu skuad United pada awal 2016 dan Southgate memuji kelab itu kerana memainkan peranan dalam pembangunannya, menyentuh mengenai pengaruh kuat bekas penolong pengurus Ryan Giggs.

    “Apa yang menarik dalam laluannya adalah semuanya bagus ketika ini,” kata Southgate.

    “Kami biasa bercakap dengan Ryan Giggs mengenai pasukan mana yang perlu disertainya (pasukan peringkat umur England) kerana kami tidak mahu dia terlalu cepat diserap ke dalam skuad B-21.

    “Kami berasakan B-21 akan menyebabkannya menjadi tumpuan terlalu cepat dan saya fikir United bersyukur kerananya. Tapi kami memilihnya bagi pasukan senior dua bulan kemudian (pada Mei 2016)!

    “Jadi perancangan itu tidak menjadi. Anda boleh lihat sekarang impak yang dicetusnya.”-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Rashford Jelmaan Rooney & Owen "