• Ranking Sarawak Dalam Peperiksaan Awam Membimbangkan

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    KUCHING – Kedudukan Sarawak di ranking ke-13 berdasarkan purata kelulusan keseluruhan pelajar dalam peperiksaan awam adalah sesuatu yang membimbangkan kerajaan negeri, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

    Beliau berkata ranking ke-13 itu perlu segera diperbaiki agar Sarawak tidak terus ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding negeri-negeri lain.

    Menurutnya apa yang lebih merisaukan ialah purata kelulusan yang sangat rendah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, iaitu hanya 23 peratus berbanding sasaran kebangsaan sebanyak 60 peratus.

    “Kita berharap untuk memperbaiki ranking kita untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan kesepuluh,” katanya pada sidang media selepas mengadakan dialog bersama-sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak mengenai cadangan penyatuan sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan enrolmen yang rendah di sini, hari ini.

    Katanya, usaha untuk memperbaiki pencapaian kelulusan dalam kalangan pelajar Sarawak terutama dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat perlu bagi membolehkan pelajar dari negeri ini bersaing dengan pelajar dari negeri lain di peringkat universiti.

    Menurut Manyin, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemerosotan itu termasuk kemudahan infrastruktur pendidikan yang daif, kekurangan sumber pengajaran dan pembelajaran, kekurangan guru pakar untuk mata pelajaran khusus serta suasana pembelajaran yang kurang kompetitif.

    Sehubungan itu, katanya perjumpaan beliau bersama ADUN Barisan Nasional hari ini adalah untuk membincangkan cara bagaimana untuk mengatasi masalah berkenaan sehingga menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar.

    “Perbincangan kita pada hari ini lebih menjurus kepada usaha untuk menyatukan sekolah-sekolah yang enrolmen pelajarnya rendah kerana dengan cara begini barulah kita dapat meminta supaya Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih baik, sumber pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi serta membekalkan tenaga pengajar yang pakar atau khusus untuk mata pelajaran tertentu seperti Sains dan Matematik,” katanya.

    Menurut Manyin. di Sarawak kini terdapat 1,454 buah sekolah, iaitu 190 sekolah menengah dan bakinya sekolah rendah, dan daripada jumlah itu 1,020 buah diklasifikasikan sebagai sekolah daif oleh Jabatan Pelajaran dan 415 buah diklasifikasikan sebagai daif kritikal.

    Katanya, terdapat 651 sekolah di Sarawak mempunyai enrolmen pelajar yang hanya seramai 150 orang atau kurang daripada itu, manakala terdapat 1,004 buah sekolah yang terdapat kurang daripada 30 orang murid atau pelajar.

    “Kami meminta supaya ADUN dan pihak ibu bapa menyokong usaha untuk menyatukan sekolah-sekolah berkenaan (yang rendah enrolmen) dan kita juga mahu mereka memahami tujuan kita melakukan sedemikian semata-mata untuk kebaikan pelajar dan meningkat prestasi pelajar,” katanya. – BERNAMA
  • No Comment to " Ranking Sarawak Dalam Peperiksaan Awam Membimbangkan "