• Rancangan Khas Untuk Speedy Jantan

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menegaskan beberapa perancangan khas akan direncana untuk pelari pecut terbaik negara Khairul Hafiz Jantan dalam usaha memburu pingat pada Sukan Asia Indonesia 2018.

    Bagaimanapun KOM tidak akan mengetepikan jurulatih sedia ada iaitu Mohd Poad Md Kassim kerana beliau adalah watak utama dalam pembikinan Khairul Hafiz muncul jaguh Asia Tenggara.

    Tegas Karim, KOM tiada masalah jika Khairul Hafiz masih mahu bersama Poad kerana apa yang penting adalah keselesaan pemegang rekod kebangsaan itu bersama jurulatihnya.

    “KOM tidak merancang untuk menukar jurulatih Khairul Hafiz tapi ia boleh dilakukan namun perlu ada perbincangan dari setiap aspek.

    “Tapi bagi saya perkara ini belum lagi terlintas di fikiran saya kerana saya puji kemampuan Poad melahirkan Khairul Hafiz,” katanya yang yakin Khairul Hafiz mampu untuk menyerlah di Sukan Asia.

    Sementara itu Karim turut menjelaskan KOM kini sedang dalam usaha mencalonkan beberapa nama atlet bagi disenaraikan ke dalam Program Podium.

    Antara atlet yang dilihat berpotensi diserapkan termasuk Khairul Hafiz, Hakimi Ismail, Irfan Shamsuddin, Jackie Wong dan Grace Wong.

    Ketika ini hanya atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa berada dalam program itu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Rancangan Khas Untuk Speedy Jantan "