• Pyongyang Siap Siaga

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+


    SEOUL: Pyongyang telah menggerakkan pesawat dan meningkatkan pertahanan di pantai timur negara itu sebagai respons terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menghantar jet pengebom B-1B ke Semenanjung Korea pada Sabtu lalu.

    Pada Selasa, agensi berita Yonhap di Seoul menerusi laporan memetik kenyataan Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong Ho memaklumkan langkah itu diambil selepas Presiden Donald Trump memuat naik tweet provokasi yang mengisytiharkan perang dengan Pyongyang.

    "Kami mempunyai hak untuk bertindak balas termasuk menembak jatuh pesawat pengebom AS walaupun ia tidak berada di ruang udara negara ini. Seluruh dunia perlu tahu, AS yang terlebih dahulu mengisytiharkan perang dengan kami," katanya menerusi sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, Isnin.

    Ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Korea Utara turut mencetuskan kebimbangan Seoul yang menggesa tindak balas segera selain memberi amaran sebarang pertembungan tidak disengajakan di rantau terbabit boleh menjadi tidak terkawal.

    Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders menafikan Washington ada membuat pengisytiharan perang seperti didakwa Pyongyang dan beliau turut menggelar dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal.

    Dalam satu kenyataan lain, jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang menegaskan tidak akan ada pemenang dalam peperangan di Semenanjung Korea.

    "Kami berharap kedua-dua pihak bertelagah itu sedar tindakan ketenteraan bukan jalan penyelesaian krisis terbabit," ujarnya.-mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Pyongyang Siap Siaga "