• PRU14: PBB Pantai Damai Bersedia Sepenuhnya Pertahan Parlimen Santubong

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) belum diumumkan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai sudah melahirkan keyakinan untuk memainkan peranan utama mempertahankan kerusi parlimen Santubong untuk Barisan Nasional (BN).

    Memetik laporan The Borneo Post, ketuanya, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, cawangan tersebut mempunyai ahli teramai di kalangan semua cawangan PBB seluruh negeri yang mana setakat ini terdapat 14,640 ahli.

    Menurutnya, terdapat 82 peratus keseluruhan ahli merupakan pengundi berdaftar yang merupakan penyokong kuat BN dan PBB pada pilihan raya akan datang.

    "Terdapat 82 peratus ahli kita adalah pengundi. Ini merupakan gambaran besar, kita hanya menggesa mereka untuk mengundi dan menjadi penyokong mereka," katanya seperti dilaporkan The Borneo Post.

    Beliau yang juga Menteri Muda Elektrik Luar Bandar berkata, masih belum dapat dipastikan calon Parlimen Santubong yang mana Datuk Seri Wan Junaidi merupakan penyandangnya.

    "Buat masa ini, kita tidak pasti perkara ini (calon Santubong).

    "Kita biarkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk membincangkan mengenai calon.

    "Untuk Pantai Damai, kita sudah bergerak sama ada tarikh pilihan raya atau calon sudah diumumkan atau tidak, jentera kita sudah diaktifkan," ujarnya.

    Mengenai Ahli Parlimen Santubong, Dr Abdul Rahman menjelaskan, Wan Junaidi amat popular dan dikenali ramai kerana membawa banyak projek mega di kawasan.

    "Kita bekerja rapat dengan beliau (Wan Junaidi). Beliau banyak menyumbang kepada kita, jadi saya fikir tiada masalah untuk Pantai Damai," jelasnya.-Sarawakiana





    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: PBB Pantai Damai Bersedia Sepenuhnya Pertahan Parlimen Santubong "