• PRU-14: MIC Bertegas Mahu Kekal Bertanding Kerusi Tradisi

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+
    Foto Mohd Fadhil Hamzah 


    KUALA LUMPUR: MIC bertegas mahu sistem pengagihan kerusi untuk parti komponen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) dikekalkan.

    Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata MIC mahu mempertahankan sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU-13 lalu.

    "Apa (kerusi) yang untuk mereka (parti komponen lain), milik mereka. Apa yang untuk kami, milik kami. Saya percaya itu formula yang bagus untuk parti (BN).

    "Bertukar kerusi bukan amalan kami. Misalnya, walaupun sesuatu kawasan itu majoriti Melayu, selagi ia milik MIC, maka MIC akan bertanding kecuali perubahan itu dibincang dan dipersetujui di peringkat Dewan Tertinggi BN, " katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Edisi Penyelidikan 4.0 Institut Jantung Negara, 2017 bertemakan 'The Way for Tomorrow's Progress', di sini hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan pemilihan calon BN untuk PRU-14 dijangka tidak lagi berdasarkan kuota parti.

    Sebaliknya, keutamaan akan diberikan kepada calon boleh menang dan disukai pengundi kawasan berkenaan kerana hasil kajian ahli akademik mendapati kira-kira 60 peratus kejayaan BN pada pilihan raya adalah kerana faktor calon.

    Difahamkan, Dr Subramaniam sudah mengemukakan hasrat mengekalkan kuota agihan kerusi untuk MIC kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    Antara kerusi ditandingi MIC pada PRU lalu yang menjadi rebutan ialah Parlimen Cameron Highlands yang dituntut Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " PRU-14: MIC Bertegas Mahu Kekal Bertanding Kerusi Tradisi "