• Protes Keganasan Polis Di St Louis Bertukar Ganas

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    ST. LOUIS: Tunjuk perasaan aman ke atas keganasan polis di sini bertukar ganas malam semalam apabila penunjuk perasaan mula memecahkan tingkap dan menghalang laluan ke jalan raya antara negeri, kata polis dan saksi.

    Difahamkan polis mengarahkan orang ramai bersurai di satu persimpangan selepas menerima laporan berlaku kerosakan harta benda.

    "Polis rusuhan sudah berada di tempat kejadian di pusat bandar untuk menyuraikan orang ramai yang semakin tidak terkawal," kata polis St Louis di Twitter.

    Terdahulu, beberapa orang penunjuk perasaan melempar botol sebagai membalas tindakan pegawai polis yang membuat tangkapan.

    Ia petunjuk awal protes itu boleh berubah menjadi ganas sama seperti dua malam sebelumnya.

    Protes tercetus sejurus selepas Hakim Sirkit, Timothy Wilson membebaskan bekas pegawai polis St Louis, Jason Stockley, 36, daripada tuduhan membunuh Anthony Lamar Smith, 24 yang ditembak mati pada 2011.

    Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul selama tiga malam berturut-turut di bandar Missouri yang dihuni hampir 320,000 penduduk itu.

    Keganasan yang tercetus dua malam sebelumnya membangkitkan kenangan rusuhan pada 2014, susulan pembunuhan seorang remaja kulit hitam yang ditembak mati seorang pegawai polis kulit putih di Ferguson, Missouri. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Protes Keganasan Polis Di St Louis Bertukar Ganas "