• Protes Anti-Myanmar Kini Memuncak

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+


    JAKARTA: Ribuan rakyat Indonesia diterajui kumpulan Islami s mengadakan rapat umum di sekitar kedutaan di Jakarta semalam untuk memprotes layanan terhadap Muslim Rohingya dan menuntut hubungan di antara keduadua negara tersebut diputuskan.

    Indonesia mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia dan sejak krisis meletus di Myanmar, beberapa protes anti-Myanmar telah diadakan di Jakarta dan ibu negara Malaysia Kuala Lumpur mengenai layanan negara majoriti Buddha itu terhadap kira-kira 1.1 juta Rohingya.

    Jalan raya disekat dan penghadang kawat berduri dipasang di sekeliling kompleks kedutaan dalam daerah mewah di ibu negara yang dipantau anggota polis antirusuhan yang turut mengerahkan meriam air.

    Sesetengah penunjuk perasaan melaungkan ‘ Allahuakbar’, manakala yang lain melontarkan slogan seperti ‘Sembelih Myanmar’ dan ‘Bakar kedutaan’.

    “Orang Buddha mesti menghormati Muslim di Myanmar dalam cara yang sama Muslim menghormati orang Buddha di Indonesia,” menurut seorang penceramah menggunakan alat pembesar suara kepada para peserta perhimpunan.

    Hampir 125,000 Rohingya telah melarikan diri daripada pertempuran antara pemberontak Rohingya dan tentera kerajaan di negeri barat laut Rakhine.

    Puluhan ribu telah merentasi sempadan ke negara jiran Bangladesh.

    Menteri Luar Retno Marsudi bertemu pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dan pegawai kanan keselamatan minggu ini untuk menggesa pertumpahan dihentikan.

    Suu Kyi semalam bagaimanapun mendakwa kemarahan global terhadap Myanmar dimarakkan oleh maklumat yang salah, selepas PBB mengetuai seruan terhadap kerajaannya untuk menamatkan keganasan semasa.

    Dalam komen awam pertamanya sejak serangan bulan lepas, beliau mendakwa simpati terhadap Rohingya di jana oleh maklumat yang salah dengan tujuan mencetuskan banyak masalah antara komuniti berlainan dan dengan matlamat mempromosikan kepentingan teroris.

    Komen tersebut dibuat dalam kenyataan rasmi pejabatnya susulan perbualan telefon dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang menggelarkan keganasan di Myanmar terhadap Rohingya sebagai genosid.

    Sebaliknya Suu Kyi mempertahankan tindakan kerajaan nya dengan menegaskan pentadbirannya melindungi semua rakyat di Rakhine.

    Awal tahun ini, penyiasat PBB berkata tentera Myanmar telah menggunakan kekejaman melampau dalam operasi keselamatan yang boleh dianggap sebagai pembersihan etnik Rohingya.

    Kerajaan Suu Kyi menepis semua tuduhan tersebut dan enggan membenarkan visa untuk pegawai PBB yang dipertanggungjawabkan unutk menyiasat laporan kekejaman tersebut.

    Marsudi turut melawat ibu negara Bangladesh Dhaka untuk menawarkan bantuan dalam menangani krisis kemanusiaan itu.

    Sesetengah penunjuk perasaan pada rapat umum di Jakarta menyeru pengusiran duta Myanmar berhubung isu tersebut, selain menuntut hubungan diplomatik antara kedua- dua negara diputuskan.

    Kakitangan kedutaan Myanmar selamat, jelas jurucakap kementerian luar Armanatha Nasir.

    Pada hujung minggu lalu, bom petrol yang dilempar ke arah bangunan kedutaan menyebabkan satu kebakaran kecil.

    Polis telah berikrar untuk menghalang kumpulan Islamis daripada mengadakan rapat umum esok di tokong Buddha Borobudur di Pulau Jawa Tengah untuk memprotes layanan Myanmar terhadap Rohingya. — Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Protes Anti-Myanmar Kini Memuncak "