• Presiden Turki Adakan Perbincangan Dengan Aung San Suu Kyi

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    ANKARA -- Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menghubungi Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi untuk berbincang mengenai krisis kemanusiaan membabitkan penduduk Islam Rohingya di Rakhine, lapor agensi berita China Xinhua.

    Menurut Erdogan peningkatan pelanggaran hak asasi manusia terhadap penduduk Islam Rohingya mencetuskan kebimbangan di dunia dan negara Islam, memetik sumber agensi berita Turki Anadolu.

    Menerusi perbualan telefon itu, Erdogan berikrar menyokong usaha menamatkan keganasan selain kedua-dua pemimpin berbincang mengenai penyelesaian krisis dan cara untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

    Sebelum ini, Erdogan dilaporkan berkata akan membangkitkan isu berkenaan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung 19 September di New York.

    Selain itu, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu melawat Bangladesh hari ini untuk berbincang mengenai isu pelarian Rohingya, kata seorang pegawai Kementerian Luar Negeri.

    Media melaporkan keganasan meletus di Rakhine pada 25 Ogos apabila pasukan keselamatan melancarkan operasi terhadap komuniti Islam Rohingya.

    Menurut PBB, seramai 123,600 Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak pertempuran meletus.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Presiden Turki Adakan Perbincangan Dengan Aung San Suu Kyi "