• Portal Singapura Mohon Maaf

    Published: Sunday, 3 September 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Portal berita Singapura, The Independent, hari ini memohon maaf susulan ancaman dan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung laporan berita yang tidak sahih disiarkannya.

    Menerusi portal itu, laporan berita berhubung dakwaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) melengah-lengahkan rawatan kecemasan terhadap seorang warga republik itu juga sudah ditarik balik.

    Laman web portal berkenaan turut tertera notis 'We're Sorry!' (Kami mohon maaf!)

    "Kami meminta maaf sepenuh hati kepada pihak terbabit atas kerumitan dan kesusahan berikutan insiden ini," menurut portal itu.

    Portal berita itu mencetuskan sensasi apabila menyiarkan dakwaan rakan mangsa kemalangan warga Singapura, Justinian Tan, yang mendakwa ambulans lewat sehingga 30 minit dalam memberi maklum balas terhadap laporan kemalangan membabitkan rakannya itu pada 25 Ogos lalu.

    Artikel itu juga mendakwa kelewatan berkenaan menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.

    Selain itu, artikel berkenaan mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum menjalankan sebarang rawatan dijalankan ke atas mangsa menyebabkan mangsa terpaksa dipindahkan ke hospital Singapura namun gagal diselamatkan dan meninggal dunia akibat lewat dibedah.

    Namun semalam, Kementerian Kesihatan dilaporkan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura sebagai tanda tidak puas hati dan kesal susulan tindakan portal berita republik itu yang memfitnah perkhidmatan kesihatan dan kakitangan perubatan negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dilaporkan berkata perbincangan diadakan dengan Kementerian Luar bagi merangka draf dan menghantar surat rasmi berkenaan dalam tempoh terdekat.

    Katanya, kementerian menyelar tindakan tidak bertanggungjawab portal berita itu yang menyiarkan berita tanpa memeriksa kesahihan fakta sehingga mendatangkan impak negatif serta tohmahan kepada seluruh warga perkhidmatan kesihatan dan kakitangan perubatan awam Malaysia.

    Subjects:

  • No Comment to " Portal Singapura Mohon Maaf "