• Polis tak sebarkan gambar

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+


    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan penyebaran maklumat berkaitan penahanan tujuh suspek dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur adalah daripada sumber Polis Diraja Malaysia.

    Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

    "Maklumat dan gambar itu tidak tersebar daripada sumber polis. Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, ia datang dari agensi lain yang menularkan video itu.

    "Saya juga lihat kenyataan akhbar oleh seorang ketua jabatan di peringkat negeri yang menyatakan perkara itu.

    "Saya fikir maklumat-maklumat itu bukan dihajati untuk disembunyikan tetapi ia akan mengganggu proses siasatan jika ada maklumat awal yang keluar sebelum siasatan yang komprehensif, saya fikir ini tidak harus berlaku," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Araul, hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menegaskan bahawa tidak wajar mana-mana ketua jabatan memberi kenyataan sehingga siasatan lengkap dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    "Saya hormati kewibawaan jabatan dan agensi penguatkuasaan. Tapi proses siasatan perlu dihormati supaya tidak ada sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya oleh mana-mana ketua jabatan atau ketua unit sebelum siasatan secara komprehensif," katanya.

    Mengulas lanjut beliau turut memuji kecekapan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain dalam menyelesaikan siasatan kes itu dalam tempohkurang 24 jam dengan penahanan tujuh suspek terbabit.

    "Syabas dan tahniah kepada PDRM dalam tempoh kurang 48 jam, telah dapat menangkap tujuh individu yang terbabit dalam kebakaran di pusat tahfiz.

    "Mereka adalah terdiri daripada anak-anak muda dan mereka dipengaruhi oleh najis dadah. Mereka membalas dendam kerana hanya faktor ejekan tetapi mereka tidak tahu mungkin di peringkat awal perbuatan itu mengundang malapetaka dengan kehilangan nyawa 21 pelajar hufaz dan tenaga pengajar mereka," katanya.

    Beliau juga berterima kasih kepada pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang meminjamkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)kepada polis berkaitan kes itu.

    Menjawab soalan bahawa ada gesaan supaya pertimbangan undang-undang yang lebih berat digunakan dalam perbicaraan terhadap kes itu yang membabitkan pesalah juvana, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara

    "Kita sedang menyediakan kertas siasatan sepenuhnnya dan akan kemukakan laporan kertas siasatan itu kepada peguam negara.

    "Peguam negara akan melihat dari aspek perundangan dan pendakwaan bersesuaian yang akan digunakan dalam pertuduhan yang akan dibawa di mahkamah.

    "Saya fikir biarpun jenayah ini dilakukan oleh penjenayah juvana perbuatan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dari segi perundangan dan dari segi kemanusiaan.

    "Bukan hanya Kanun Keseksaan tapi beberapa perundangan lain perlu digunakan supaya ada pengajaran untuk masyarakat," katanya.-Hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Polis tak sebarkan gambar "