• Polis rampas syabu 309kg bernilai RM22j

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+
    Foto Ghazali Kori


    KUALA TERENGGANU: Polis merampas dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 309 kilogram bernilai hampir RM22 juta dan menahan enam lelaki dalam dua serbuan di Terengganu dan Pulau Pinang, Isnin dan Selasa lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata ia adalah rampasan dadah terbesar di negara ini tahun ini.

    Beliau berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dan Pulau Pinang itu dapat menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di negara ini.

    Beliau berkata, dalam operasi pertama di Bukit Payong, Marang pada Isnin lalu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 53 tahun, dengan dua daripadanya ditahan di atas sebuah treler membawa muatan 288kg dadah jenis syabu bernilai RM20.2 juta.

    "Susulan penahanan dua suspek, kita menahan seorang lagi rakan mereka di Klang, Selangor.

    "Kita turut menyita wang tunai RM2,750 dan dua kereta iaitu Mitsubishi Triton dan Chevrolet Colorado serta treler yang digunakan untuk membawa dadah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

    Mohmad berkata, dalam serbuan kedua di Pulau Pinang kelmarin, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 43 tahun dan merampas dadah jenis syabu seberat 20.5kg bernilai RM1.4 juta.

    "Kita turut menyita dua kenderaan iaitu Nissan Xtrail dan Toyota Camry bernilai RM150,000.

    "Siasatan mendapati dua sindiket ini membawa masuk bahan terlarang ini melalui sempadan dengan menyorokkannya dalam bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya percaya bekalan dadah itu untuk diedarkan di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

    Katanya, ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Polis rampas syabu 309kg bernilai RM22j "