• Polis Beri Amaran Kepada Pengguna Media Sosial & Portal Atas Talian

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+
    KUCHING: Polis Sarawak hari ini memberi amaran keras kepada mana-mana individu, portal berita dalam talian mahupun laman-laman Facebook agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan mana-mana gambar suspek kes jenayah tanpa menutup bahagian muka bagi melindungi identiti mereka kepada orang ramai.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata tindakan seperti itu boleh merosakkan reputasi suspek sekaligus menimbulkan pandangan serong di kalangan masyarakat sekeliling terutama terhadap ahli keluarga suspek.

    Menurutnya, pihak media terutamanya portal-portal berita dan laman-laman Facebook dinasihatkan agar tidak menyiarkan gambar suspek tanpa mengaburi bahagian muka.

    “Suspek ini belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah dan mereka masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

    Jelasnya, kenyataan itu susulan tangkapan tiga suspek wanita membabitkan satu kes dadah baru-baru ini.

    "Pada status Laman Facebook berkenaan menyiarkan kenyataan  media Ketua Polis Daerah Kuching Abang Ahmad Abang Julai berserta tiga gambar muka suspek-suspek wanita terbabit dalam kes itu," katanya

    Beliau berkata, status berkenaan menerima ratusan komen pengguna media sosial yang mengkritik polis kerana memberi gambar-gambar supek tersebut.

    Dev memberitahu pihaknya telah berjaya mengenalpasti individu yang berkaitan dengan laman Facebook tersebut dan mengarahkan berita serta gambar suspek dipadamkan.

    Sementara itu, beliau menjelaskan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal memandang serius perkembangan ini, dan mengarahkan siasatan dalaman dilakukan terhadap penyaluran foto-foto polis kepada media dan tindakan disiplin turut diambil terhadap individu yang menyalurkan foto terbabit.- Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Beri Amaran Kepada Pengguna Media Sosial & Portal Atas Talian "