• PM Lancar 500 Juta Unit Tambahan AHB, Mahu Bumiputera Miliki Hartanah Komersial

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan saiz dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ditambah sebanyak 500 juta unit.

    Perdana Menteri berkata, penambahan itu menjadikan keseluruhan dana AHB mencecah 4 bilion unit.

    "AHB juga memberi pulangan konsisten, iaitu sekitar 6.2 peratus. Ia pulangan yang begitu menarik sekali di mana kita boleh tunaikan duit kita pada bila-bila masa," katanya.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran unit tambahan berkenaan, di sini.

    Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Tan Sri Md Nor Md Yusof serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman.

    Najib yang juga Pengerusi Yayasan AHB turut mengumumkan 50 unit tambahan percuma kepada 200,000 Akaun Remaja baharu yang dibuka bermula Isnin ini bagi menggalakkan penyertaan pelabur muda.

    "Saya menyeru ibu bapa merebut peluang ini dengan membuka akaun AHB untuk anak mereka. Saya difahamkan Akaun Remaja ini adalah untuk kanak-kanak berumur tiga bulan ke atas sehingga bawah 18 tahun," katanya.

    Perdana Menteri juga mahu Bumiputera mula melabur untuk pemilikan aset hartanah komersial di bandar.

    Sebelum ini, katanya, Bumiputera lebih terarah untuk memiliki hartanah di pekan kecil dan pinggir bandar sebagai aset.

    Beliau berkata, Bumiputera perlu berani melabur bagi pemilikan aset seperti hartanah yang tertumpu di bandar besar kerana langkah itu dapat meraih pulangan lebih tinggi.

    Sebab itu, katanya, kerajaan memperkenalkan Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, antara lain untuk membantu memperkukuhkan penguasaan sektor hartanah komersial oleh Bumiputera.

    Perdana Menteri berkata, peralihan pelaburan hartanah dari pekan kecil ke tengah bandar dapat memastikan penyertaan kukuh Bumiputera dalam sektor hartanah komersial dengan meraih pulangan tinggi, sekali gus menjana kekayaan bagi golongan berkenaan.

    "Tujuan AHB diwujudkan adalah bagi memberi peluang masyarakat Bumiputera dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia melalui pegangan unit yang disediakan AHB.

    "Ini semestinya membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk berkongsi pemilikan ke atas aset ini, sejajar hasrat Kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial," katanya.

    Sejak dilancarkan pada 2010, Perdana Menteri berkata, AHB mendapat sambutan menggalakkan orang ramai hingga dana itu perlu ditambah sebanyak empat kali.

    AHB adalah unit amanah patuh syariah pertama di Malaysia, diuruskan PHB yang dilancarkan pada 29 November 2010 dengan permulaan 1 bilion unit.

    Had maksimum pelaburan skim itu kini berjumlah RM500,000, manakala jumlah minimum pelaburan adalah RM100. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM Lancar 500 Juta Unit Tambahan AHB, Mahu Bumiputera Miliki Hartanah Komersial "