• Pihak Berkuasa Myanmar Pasang Pagar Kawat Sekat Pelarian Ke Bangladesh

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rohingya di Arakan mendakwa pihak berkuasa Myanmar memasang kawat penghadang di sempadan berhampiran Teknaf dalam usaha terbaru menghalang pelarian lari ke Bangladesh.

    Aktivis Kerjasama Untuk Aktiviti Kemanusiaan (CHA) Salim Ullah berkata, dawai berkenaan mula dipasang sejak tiga hari lalu dan ia boleh dilihat dengan jelas dari sempadan di sebelah Bangladesh, menjadikan keadaan semakin mendesak ketika krisis masuk hari ke-13 hari ini.

    Katanya, berdasarkan maklumat gabungan NGO di sana, pagar kawat mula dipasang di sekitar lokasi pelarian menuju ke Bangladesh sejak tiga hari lalu, namun dinafikan pihak berkuasa Myanmar.

    “CHA juga terkejut dengan berita itu, namun kami mendapati ia benar-benar berlaku selepas dimaklumkan pelarian yang berada di kawasan berkenaan.

    “Sebelum ini, pelarian masuk menerusi laluan di tanah tidak bertuan berdekatan Waikong, Teknaf. Mungkin jumlah terlalu ramai menyebabkan Myanmar memasang halangan itu. Nasib pelarian di situ masih belum kami ketahui,” katanya.

    Siri operasi ketenteraan baru sejak 25 Ogos itu menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh dan lebih 125,000 pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan menunggu bantuan antarabangsa untuk meneruskan hidup.

    Salim Ullah berkata,di Teknaf ada dua laluan paling dekat dengan Arakan dan Bangladesh di tepi Sungai Teknaf iaitu Damdania dan Alikhali.

    “Sebelum ini, apabila bot yang membawa pelarian Rohingya sampai, pasukan pengawal sempadan mengusir mereka ke tengah sungai menyebabkan ada yang lemas.

    “Kita berusaha secara berterusan untuk membawa masuk bantuan dengan mengambil kira pertambahan pelarian masuk ke Bangladesh setiap hari,” katanya. - HarianMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pihak Berkuasa Myanmar Pasang Pagar Kawat Sekat Pelarian Ke Bangladesh "