• Petrol Dicurah Ke Rak Kasut, Tuala, Dinding

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk asrama aras tiga bangunan itu.

    Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga berkenaan.

    "Api marak dengan cepat disebabkan gas cecair petroleum (LPG) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama itu.

    "Tambahan pula, bahan pencetus kebakaran (fire load) yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api mengakibatkan mangsa yang sedang tidur terkorban dalam masa singkat," katanya pada sidang media khas hasil siasatan lengkap kebakaran pusat tahfiz berkenaan di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, hari ini.

    Wan Mohd Nor berkata, pasukan penyiasatan kebakaran JPBM menemui dua bahan bukti iaitu dua silinder gas cecair petroleum (LPG) berwarna hijau berbelang merah dijumpai di hadapan pintu masuk bilik asrama.

    Katanya, kedua-dua silinder itu sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka.

    Selain itu, menurutnya, Unit Pengesan (K9) juga mengesan tujuh tempat dan satu sampel diambil di hadapan pintu masuk bilik asrama.

    "Dalam kes ini empat anjing digunakan dan semuanya menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini sudah dianalisa oleh pegawai kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol.

    "Berdasarkan penemuan itu, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar (Incendiary Fire)," katanya.

    Menurutnya, pihak bomba sudah mendapat petunjuk kejadian berkenaan disebabkan oleh perbuatan sengaja dibakar pada 1 tengah hari, pada hari kejadian berdasarkan sampel yang diambil dan dianalisa di makmal.

    Katanya, laporan penuh kejadian berkenaan sudah diserahkan kepada pihak polis.

    Pada masa sama, beliau turut menafikan pintu bilik asrama berkenaan disendal dengan spanar.

    Wan Mohd Noor turut menjelaskan kejadian ini adalah kebakaran besar yang kedua dalam sejarah kebakaran di pusat tahfiz.

    Sebelum ini pada 1989, kebakaran di Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah, Padang Lumat, Kedah sudah berlaku yang mengorbankan seramai 27 pelajar.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Petrol Dicurah Ke Rak Kasut, Tuala, Dinding "