• Peranti Semak Status Kawalan Imigresen Di KLIA

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memperkenalkan peranti yang akan membolehkan orang ramai menyemak status kawalan imigresen masing-masing di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang bulan depan.

    Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, peranti tersebut boleh digunakan para penumpang secara sukarela sebelum turun ke kaunter imigresen di KLIA.

    Sebelum ini, rakyat Malaysia boleh menyemak secara dalam talian status kawalan imigresen mereka di portal rasmi Jabatan Imigresen iaitu di sspi2.imi.gov.my sebelum mereka berangkat ke luar negara.

    “Peranti itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen yang disebabkan pelbagai faktor seperti sekatan akibat kegagalan segelintir penumpang membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Jika penumpang menghadapi masalah dengan agensi seperti LHDN, mereka boleh menguruskan isu tersebut dengan pegawai lembaga itu sebelum berlepas ke luar negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sebelum program Ruang Bicara siaran Bernama News Channel di sini, Selasa malam.

    Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membuka kaunter pemudah cara bagi menyelesaikan isu sekatan ke luar negara di lapangan terbang kendaliannya.

    Menurut Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali, usaha itu melibatkan kerjasama Jabatan Imigresen, LHDN dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta agensi berkaitan.

    Menyentuh hal lain, Mustafar berkata sistem pagar automatik di KLIA akan melalui proses penambahbaikan dengan teknik pengenalan retina yang sedang dalam perancangan Jabatan Imigresen. - Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Peranti Semak Status Kawalan Imigresen Di KLIA "