• Penyelewengan PTPK: Lebih Banyak Saksi Akan Dipanggil

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    IPOH - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan terdapat saksi-saksi lain yang akan dipanggil termasuk dari Kementerian Sumber Manusia selepas Menterinya, Datuk Seri Richard Riot tampil memberikan keterangan berhubung isu penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa SPRM akan memanggil semula Richard atau saksi-saksi lain sekiranya terdapat keperluan, bergantung kepada hasil siasatan.

    “Pagi tadi kita telah memanggil Menteri berkenaan untuk dirakamkan percakapan. Kita akan meneliti lagi keterangan yang kita dapat daripada Setiausaha Politik dan Menteri berkenaan.

    “Sekiranya ada keperluan, kita akan panggil saksi-saksi lain yang berkaitan untuk membantu siasatan. Sudah pasti akan ada sebab semua dokumen itu berada di kementerian dan dalam proses biasa, ia bukan melibatkan seorang sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program perasmian Mural Pencegahan Rasuah yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Bangunan SPRM Perak di sini hari ini.

    Dzulkifli berkata, Richard telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada SPRM hasil maklumat awam serta risikan yang dilakukan oleh pihaknya.

    Tambah beliau, pihaknya juga sedang mengemas kini siasatan setelah terdapat asas untuk kertas siasatan dibuka, malahan beberapa tangkapan turut telah dibuat. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Penyelewengan PTPK: Lebih Banyak Saksi Akan Dipanggil "