• ‘Penipu Besar’ Pinjaman Haram Dihukum Mati

    Published: Saturday, 30 September 2017
    A- A+


    HANOI – Seorang bekas pegawai bank dihukum mati semalam kerana terbabit dalam skandal penipuan besar-besaran di Vietnam membabitkan pinjaman haram bernilai jutaan dolar.

    Rakan subahatnya turut menerima hukuman penjara seumur hidup dalam perbicaraan yang mengambil masa beberapa bulan dan membabitkan 51 pegawai bank serta ahli perniagaan.

    Mereka merupakan sebahagian daripada gerakan antirasuah yang menurut pengkritik turut mengheret musuh politik ramai pemimpin parti komunis Vietnam sendiri.

    Bekas ketua pengarah Ocean Bank, Nguyen Xuan Son, yang kemudian menjadi pengerusi syarikat minyak paling berpengaruh di negara itu, PetroVietnam, dihukum mati.

    Ia berhubung pembabitannya dalam penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan salah urus ekonomi. Bekas pengerusi bank berkenaan, Ha Van Tham turut dipenjara seumur hidup atas tuduhan sama.

    Beliau yang pernah menjadi antara individu terkaya di Vietnam juga didapati melanggar peraturan pemberian pinjaman. Dia didapati bersalah meluluskan pinjaman haram AS$23 juta (RM97.1 juta) pada 2012.

    Turut disebut dalam keputusan itu pengambilalihan saham PetroVietnam berjumlah AS$35 juta (RM150 juta) dalam bank terbabit. Namun, ia dilupuskan apabila bank pusat membeli Ocean Bank dengan harga AS$0 pada 2015.

    Kedua-duanya meninggalkan mahkamah dengan wajah yang tidak menunjukkan sebarang perasaan selepas keputusan sabitan dibacakan hakim.

    “Apa yang dilakukan Tham dan Son sangat serius. Tindakan mereka melanggar pengurusan aset negara dan menyebabkan ketidakadilan terhadap orang awam, memerlukan hukuman tegas,” kata hakim Truong Viet Toan. – AFP/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Penipu Besar’ Pinjaman Haram Dihukum Mati "