• Peniaga Berdepan 115 Pertuduhan Menipu

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Seorang peniaga berdepan dengan 115 pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini membabitkan jumlah lebih RM6 juta pada 2015.

    N Narendran, 37, pada November lalu didakwa dengan 105 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya seorang lelaki dalam pelaburan membekal peralatan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh bermula Mei hingga Oktober 2015.

    Hari ini, tertuduh didakwa pula dengan 10 pertuduhan lagi mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana mengemukakan dokumen palsu membabitkan kes dan mangsa yang sama.

    Dia didakwa dengan curangnya menggunakan beberapa Dokumen Pesanan Kerajaan Negeri Perak yang palsu sebagai tulen pada April hingga Oktober 2015.

    Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazratul Natrah Mohd Yusuf di hadapan Hakim Norashima Khalid dan tertuduh diwakili peguam Bernard Francis.

    Narendran bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua 10 pertuduhan baru itu dan minta dibicarakan.

    Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kes membabitkan jumlah penipuan yang tinggi dan dikhuatiri akan ada mangsa lain yang ditipu.

    Nazratul Natrah turut memohon agar pertuduhan baru itu dibicarakan bersama dengan pertuduhan sebelum ini.

    Pihak pembelaan meminta mahkamah tidak mengenakan seberang wang jaminan dan mengekalkan jaminan sama yang dikenakan sebelum ini.

    Hakim Norashima kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi keseluruhan 10 pertuduhan dan sebutan semula kes pada esok untuk serahan dokumen.

    Harian Metro pada 22 November 2016 melaporkan Narendran didakwa dengan 105 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan jumlah lebih RM6 juta pada 2015.

    Dia didakwa menupu Hafizul Abdul Hamid, 41, dengan memperdayakan mangsa supaya memoercayai bahawa pesanan kerajaan negeri untuk pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada HRPB adalah tulen.

    Tertuduh kemudian dikenakan jaminan sebanyak RM90,000 bagi semua pertuduhan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Peniaga Berdepan 115 Pertuduhan Menipu "