• Pengarah Kolej Direman Rasuah Sijil Belajar Luar Negara

    Published: Saturday, 30 September 2017
    A- A+

    KUANTAN – Seorang pengarah sebuah kolej swasta di Maran dekat sini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ia berhubung kes rasuah melibatkan pengeluaran sijil kepada puluhan bakal pelajar perubatan untuk tujuan melanjutkan pengajian ke institusi luar negara.

    Majistret Nordiana Abd. Aziz mengeluarkan perintah selepas membenarkan permohonan oleh SPRM. Permohonan reman dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman.

    Peguam Datuk Ng See Teong yang mewakili pengarah berusia 53 tahun itu semasa ditemui berkata, anak guamnya ditahan di Bandar Pusat Jengka, Maran petang semalam.

    Difahamkan, suspek dipercayai meminta bayaran sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar yang ingin memiliki sijil berkenaan dengan melibatkan seramai 20 orang.

    See Teong memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Ia memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengarah Kolej Direman Rasuah Sijil Belajar Luar Negara "