• Penganggur Cabul Anak Tiri

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    KANOWIT: Masalah kemurungan yang dialami seorang murid perempuan Tahun Empat sebuah sekolah rendah, di sini, membongkar perbuatan cabul yang dilakukan bapa tiri terhadapnya.

    Sumber berkata, kejadian itu terbongkar selepas guru besar sekolah terbabit bertanyakan masalah yang dihadapi murid terbabit, Isnin lalu.

    Beliau berkata, guru besar terbabit mengesyaki sesuatu selepas murid berusia 10 tahun itu sentiasa murung kebelakangan ini.

    "Murid terbabit akhirnya memberitahu dia diganggu secara seksual oleh bapa tirinya yang berusia 42 tahun.

    "Selepas itu, pada Selasa, guru besar membawa murid terbabit ke Hospital Kanowit untuk menjalani pemeriksaan seterusnya membuat laporan polis," katanya.

    Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati suspek melakukan gangguan seksual terhadap anak tirinya sebanyak dua kali pada Julai serta Ogos lalu.

    Beliau berkata, perbuatan itu dikatakan dilakukan suspek ketika ibu mangsa pergi ke kebun.

    "Berikutan laporan yang dibuat guru besar itu juga, suspek ditahan selepas dia menyerah diri di Balai Polis Kanowit pada jam 2 petang tadi.

    "Dia akan dibawa ke Mahakmah Majistret Kanowit esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman," katanya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian itu.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 (d) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. - BHOnline
  • No Comment to " Penganggur Cabul Anak Tiri "