• Penempatan Rohingya, Tidak Ada Rancangan Seumpama Itu – Abang Jo

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+
    KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menafikan spekulasi yang mengatakan kerajaan akan menyediakan penempatan sementara untuk pelarian Rohingya di negeri ini.

    “Tidak, tidak ada perancangan seumpama itu,” tegasnya ketika ditanya pemberita hari ini.

    Menurutnya beliau terkejut dengan spekulasi tersebut kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk membawa masuk pelarian Rohingya ke Sarawak.

    "Saya hairan, siapa yang memulakannya (spekulasi), sedangkan kita tidak mahu terlibat dalam isu ini,” jelasnya

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

    Isu penempatan pelarian Rohingya menjadi perdebatan hangat dikalangan pengguna media sosial di Sarawak sejak minggu lepas, meskipun sehingga kini kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.

    Ianya berikutan kenyataan Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Sri Michael Manyin yang mengulas satu maklumat palsu yang tersebar di media sosial.

    Maklumat itu mengatakan kerajaan akan menempatkan pelarian Rohingya di Serian dan Bau.

    Manyin dipetik Malay Mail mengulas hal itu pada Sabtu berkata, Sarawak akan menentang sebarang usaha untuk menempatkan pelarian Rohingya di negeri ini.

    "Kami menentang sepenuhnya, bagaimana mungkin kita dapat menerima mereka?,” katanya.

    Beliau bagaimanapun mengulas isu berkenaan tanpa menafikan maklumat yang tular di media sosial sebagai palsu. – Sarawakiana
  • No Comment to " Penempatan Rohingya, Tidak Ada Rancangan Seumpama Itu – Abang Jo "