• Pencuri Berseluar Pendek Bawa Lari RM600k

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dengan hanya berselipar dan berseluar pendek, seorang lelaki berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM600,000 daripada bilik kebal sebuah bank di Damansara Heights.

    Modus operandinya amat mudah: menyamar sebagai penyelenggara alat pemadam kebakaran hanya menyandang beg, memakai kemeja-T, berseluar pendek bermuda dan berselipar.

    Dia berjaya melarikan wang tersebut dalam masa 20 minit.

    Namun sepandai-pandai tupai melompat, penjenayah tersebut hanya dikesan 2 jam kemudian oleh kakitangan bank.

    Menurut sumber yang berada di tempat kejadian, pencuri itu kelihatan tenang dan yakin semasa memasuki bank kira-kira jam 12.30 tengahari pada 8 September.

    Dia memperkenalkan dirinya sebagai juruteknik syarikat alat pemadam api.

    Bagaimanapun pengurus bank tidak membenarkan lelaki itu meneruskan tugas setelah gagal mengesahkan identitinya, sebelum pengurus itu keluar makan tengahari.

    Lelaki dalam lingkungan 30-an itu bagaimanapun tidak beredar sebaliknya kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia berlegar-legar di tempat itu sebelum menyelinap melalui pintu di belakang kaunter bank.

    Dia berpura-pura memeriksa alat pemadam berkenaan sewaktu kakitangan sibuk dan kemudiannya menghampiri bilik kebal.

    Apabila ketua juruwang masuk ke bilik itu, lelaki tersebut meletakkan sekeping magnet pada selak pintu kunci berautomatik untuk menghalang selak itu terkunci secara automatik apabila ditutup.

    Beberapa minit selepas ketua juruwang keluar, lelaki itu masuk ke bilik kebal dan memasukkan wang ke dalam beg galas yang dibawanya, sebelum keluar daripada bank tersebut dengan tenang seperti tak ada apa-apa berlaku!

    Selepas pengurus bank kembali daripada makan tengahari sekitar jam 2.30 petang, dia bertanya perihal lelaki tersebut dan dimaklumkan suspek telah beredar.

    Berasa curiga, pengurus tersebut kemudiannya membuat pemeriksaan peti besi di bilik kebal dan mendapati RM600,000 telah lesap.

    Kata sumber, tidak lama selepas kes itu dilaporkan kepada polis, penyiasat menahan pengurus bank yang berusia 40-an itu.

    Pengurus itu direman 2 hari untuk membantu siasatan dan dibebaskan selepas dia didapati tidak terlibat dalam kes itu.

    Polis menahan ketua juruwang pada Ahad lalu anamun dia dibebaskan beberapa jam kemudian selepas disoal siasat.

    Berikutan kes itu, kedua-dua kakitangan itu telah digantung kerja.

    Penyiasat berkata, suspek pernah membuat percubaan yang sama di syarikat lain dengan memperkenalkan diri sebagai juruteknik penghawa dingin.

    Bagaimanapun, kakitangan syarikat tersebut curiga dan tidak membenarkannya masuk.

    Menurut penyiasat, mereka terkejut bagaimana pihak bank tersebut boleh menjadi cuai begitu sekali.-MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuri Berseluar Pendek Bawa Lari RM600k "