• Pembinaan Infrastruktur Untuk Tingkatkan Ekonomi

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek-projek infrastruktur dibina bagi meningkatkan ekonomi penduduk di sesebuah negeri termasuk yang di kawasan pedalaman.

    Perdana Menteri berkata apabila terdapat projek infrastruktur yang baik, lebih banyak pembangunan boleh dibina untuk rakyat sekali gus pendapatan rakyat di pedalaman juga akan meningkat seiring dengan pembangunan di kawasan bandar.

    “Hasilnya, jurang kemiskinan antara kawasan pedalaman dan bandar boleh dikurangkan. Inilah matlamat kerajaan dalam merancang pembangunan untuk rakyat.

    “Salah satu projek yang menjadi keperluan untuk rakyat ialah projek infrastruktur iaitu jaringan sistem pengangkutan yang teratur dan menyeluruh termasuklah kawasan pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi laman blog najibrazak.com, hari ini.

    Najib berkata Lebuhraya Pan Borneo yang menelan kos sebanyak RM27 bilion, bakal memberi manfaat yang besar buat rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak.

    Katanya projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2023 itu bakal menjadi titik perubahan atau ‘game changer’ untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

    Bagi penduduk di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, kerajaan sedang membina Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), katanya.

    Beliau berkata kos bagi CSR ialah RM6.6 bilion manakala ECRL pula RM55 bilion.

    “Dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan rakyat di pedalaman adalah tidak benar sama sekali. Kerajaan sentiasa meletakkan rakyat, tidak kira di mana sebagai keutamaan,” tegas beliau. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembinaan Infrastruktur Untuk Tingkatkan Ekonomi "