• Pemberontak Rohingya Di Rakhine Seru Bantuan Antarabangsa Dihantar Segera

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+


    COX’S BAZAR : Militan Rohingya yang bertempur dengan tentera Myanmar sekali gus menyebabkan hampir 300,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, semalam mengumumkan gencatan senjata sehala untuk membolehkan bantuan dihantar kepada pelarian yang semakin terdesak.

    PBB berkata, 294,000 pelarian Rohingya tiba di Bangladesh sejak serangan militan ke atas pasukan keselamatan Myanmar di negeri Rakhine pada 25 Ogos lalu mencetuskan pembalasan ketenteraan besar-besaran.

    Puluhan ribu lagi dijangka bersedia untuk keluar dari Rakhine selepas lebih dua minggu hilang tempat tinggal serta tiada bekalan makanan dan air.

    Tiga penduduk Rohingya dilaporkan maut akibat periuk api dekat sempadan yang didakwa dipasang pasukan keselamatan Myanmar yang mahu menghalang pelarian kembali ke negara tersebut.

    “Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) dengan ini mengumumkan pengunduran sementara operasi serangan ketenteraan,” menurut kumpulan tersebut dalam kenyataan rasmi Twitter.

    Ia menggesa semua pihak kemanusiaan untuk kembali menghantar bantuan kepada semua mangsa krisis kemanusiaan tanpa mengira latar belakang etnik atau agama sepanjang tempoh gencatan selama sebulan hingga 9 Oktober depan.

    ARSA kemudian menyeru Myanmar untuk membalas penangguhan kemanusiaan ini, namun belum ada respons segera daripada tentera Myanmar.

    Pihak berkuasa kelmarin menyatakan mereka akan mewujudkan tiga kem bantuan di kawasan majoriti Rohingya.

    Program bantuan antarabangsa di Rakhine dikekang keras ketika pertempuran berterusan di beberapa bahagian di negeri tersebut.

    Kementerian luar India menyeru keganasan dihentikan segera dan menggesa situasi ditangani dengan berhati- hati dan matang.

    Ribuan Rohingya tiba di Bangladesh setiap hari, menyertai kem pelarian yang sudah sedia sesak sejak masalah meletus berdekaddekad lalu.

    Agensi pelarian PBB UNHCR menyatakan sejumlah 294,000 tiba baru-baru ini dan merayu sumbangan segera AS$77 juta.

    Bulan Sabit Merah (ICRC) Bangladesh mengalu-alukan ikrar gencatan ketika agensi bantuan bergelut untuk memenuhi keperluan krisis besar-besaran itu, menempuh hujan monsun untuk menghantar bantuan kepada penduduk yang melarikan diri sehelai sepinggang.

    “Bagaimana kita boleh menangani kemasukan seramai ini.

    “Mereka mahukan tempat perlindungan yang selamat,” kata Misada Saif, penyelaras pencegahan dan komunikasi delegasi ICRC Bangladesh.

    Mengendong bayinya yang bogel yang menangis kelaparan, pelarian Rohingya Zohra Begum menahan tangisan ketika ratusan penduduk diarah meninggalkan kawasan hutan di tepi pantai dekat Shamlapur.

    “Kami pergi ke semua kem tetapi tiada tempat untuk berlindung, sebab itulah kami datang ke sini.

    “Jika kami berpindah dari sini, ke mana harus dituju? Kami akan mati,” katanya.

    Lebih dikenali sebagai Haraka hal-Yaqin (Pergerakan Kepercayaan), ARSA melancarkan serbuan berselaras menggunakan ratusan militan pada 25 Ogos ke atas kira-kira 30 pos pemeriksaan polis dan pejabat negeri di negeri utara Rakhine.

    Pembalasan oleh pasukan keselamatan menyebabkan penduduk Rohingya melarikan diri beramai-ramai, di mana mereka mendakwa etnik Buddha Rakhine menyertai pembunuhan penduduk kampung secara berleluasa.

    Di kem sementara dekat Shamlapur, pelarian Rohingya meragui gencatan akan membolehkan mereka pulang segera.

    “Mereka( tentera Myanmar) berkata, ‘pergi atau kami bakar kamu semua’.

    “Bagaimana kami boleh percaya gencatan ini akan mempunyai sebarang kesan?” kata Hafez Ahmed, 60.

    Namun Hashem Ullah, 33, petani dari kampung barat Maungdaw, mahu kembali jika diberi pampasan dan diterima sebagai Rohingya.

    “Bagaimana kami boleh hidup seperti ini di sini?” tambahnya lantas menunjukkan persekitarannya yang dikelilingi tanah paya.

    ARSA mendakwa mereka berjuang mempertahankan Rohingya daripada penindasan di Myanmar, namun Myanmar melabel mereka pengganas ekstrem Benggali yang mahu mewujudkan wilayah Islam untuk Rohingya.

    Tentera mendakwa sudah membunuh hampir 40 militan setakat ini, manakala beberapa pelarian Rohingya mengadu dipaksa berjuang oleh pihak ARSA. - UB

    Subjects:

  • No Comment to " Pemberontak Rohingya Di Rakhine Seru Bantuan Antarabangsa Dihantar Segera "