• Pembangkang Bergolak, BN Siap Sedia PRU-14

    Published: Saturday, 9 September 2017
    A- A+

    HURA-HARA yang berlaku dalam pakatan pembangkang memberi kesempatan kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus memperkukuh semangat dan persefahaman sesama parti komponen.

    Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan langkah itu penting bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang khususnya dalam isu pembahagian kerusi.

    “Salah satu kekuatan BN adalah merupakan satu posisi yang kukuh dan stabil, tak macam pembangkang kita lihat mereka seringkali buat kenyataan dan pendirian sama ada bercanggah sehingga tak tahu siapa yang jadi ketua kepada pembangkang.

    “Mereka selalu ubah pendirian mereka dalam banyak isu tengok kepada keadaan dari semasa ke semasa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.

    Pada ketika ini pembangkang diasak dengan pelbagai isu dalaman antaranya rundingan kerjasama PKR dengan PAS yang dilihat tidak disenangi beberapa parti komponen dalam Pakatan Harapan.

    Perkara ini dikatakan berpunca daripada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meneruskan rundingan dengan PAS sehingga membawa kepada ketetapan Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lalu bahawa gabungan pembangkang itu menutup sebarang bentuk kerjasama dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Percanggahan pendapat di antara pimpinan tertinggi pembangkang, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang juga sering menjadi perhatian penyokong tegar mereka.

    Begitu juga dengan soal pembahagian kerusi sesama pembangkang yang sehingga kini masih gagal dimuktamadkan.

    Malah Pakatan Harapan juga berkemungkinan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru, termasuk dengan PAS, selepas parti Islam itu enggan bersama mereka.

    Dalam pada itu, Najib menjelaskan bahawa beliau yakin dengan kerjasama erat antara parti komponen sekaligus akan menjadikan BN untuk terus menjadi Kerajaan Persekutuan selepas PRU nanti.

    “Kekuatan BN, saya yakin akan beri gambaran dan imej kepada rakyat bahawa kita merupakan posisi yang lebih mampan untuk terus memimpin negara kita,” kata beliau yang juga Perdana Menteri.

    Dalam mesyuarat yang sama, beliau turut menjelaskan antara isu yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian kerusi antara komponen BN dan penentuan calon BN di setiap kerusi.

    “Kita mahu supaya penyelesaian dalam soal ini dibuat dalam semangat permuafakatan BN. Kita juga bincang persiapan PRU secara umum dan kerjasama yang dilakukan setiap parti komponen BN semakin baik.

    “Kita masih ada ruang untuk tingkatkan tentang apa yang kita lakukan ni,” jelas Ahli Parlimen Pekan itu. – BNBBC

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Bergolak, BN Siap Sedia PRU-14 "