• Pelbagai Usaha Kesan Individu, Agensi Tipu Umrah

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    BALING – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan terus mempelbagaikan usaha mengesan individu dan agensi pelancongan yang melakukan penipuan pakej umrah kepada orang ramai.

    Ketua Penolong Setiausaha Kanannya, Datin Seri Norfaliza Ismail berkata antara tindakan yang dilakukan ialah menyenaraihitamkan ketua pegawai eksekutif (CEO) serta rakan kongsi agensi yang terlibat dalam penipuan berkenaan.

    “Kami akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia ( SSM) untuk mengenal pasti dan menyenaraihitamkan CEO serta rakan kongsinya yang melakukan penipuan pakej umrah ini.

    “Dengan cara ini, kita akan dapat menghalang mereka daripada membuka syarikat atas nama lain dan terus melakukan penipuan terutama yang berkaitan pelancongan,” katanya kepada Bernama pada Program Kempen Kesedaran Umrah/Ziarah Dan Hak-Hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2017 peringkat negeri di sini, hari ini.

    Sementara itu, Norfaliza berkata harga pakej umrah yang murah dan penggunaan selebriti dalam iklan terus menjadi faktor utama orang ramai tertipu.

    Beliau berkata walaupun trend penipuan dilihat agak menurun sejak dua tahun lalu namun dua faktor itu masih dilihat menjadi penyumbang utama kepada kes penipuan pakej umrah.

    “Ramai yang masih tidak tahu bahawa harga minimum bagi satu pakej umrah yang ditetapkan kerajaan adalah RM4,900 bagi pakej standard 12 hari dan 10 malam.

    “Untuk itu, hebahan mengenai garis panduan dalam mengiklankan pakej-pakej umrah dan ziarah ini akan dilakukan dengan lebih agresif dan dalam masa yang sama, (kerajaan) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau serta membuang iklan yang tidak didaftarkan,” kata Norfaliza. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pelbagai Usaha Kesan Individu, Agensi Tipu Umrah "