• Pelarian Rohingya DIkejar Ambang Maut

    Published: Friday, 15 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas berdepan isu kebuluran yang kritikal, ratusan pelarian Rohingya yang cedera ketika melintasi Bangladesh berhampiran sempadan kini di ambang maut kerana memerlukan rawatan segera termasuk menjalani pembedahan.

    Ketika ini, mereka diberikan bantuan ubat-ubatan asas oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang sudah berada di sekitar Thankali, dan Teknaf sejak beberapa hari lalu namun ia hanya untuk kategori sakit ringan.

    Pengarah IReach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Johan Ariff Ismail berkata, ketika ini terdapat keperluan mendesak untuk pelarian berkenaan mendapatkan rawatan segera kerana ada antara mereka kini terlantar tanpa sebarang pengawasan pakar perubatan.

    Katanya, kebanyakannya cedera ketika operasi ketenteraan di kampung mereka di Arakan dan selepas itu terpaksa lari untuk menyelamatkan diri menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

    “Berdasarkan keadaan terkini, ada yang belum dapat mengubati luka selepas dicederakan pelampau ketika serangan, ramai yang kekurangan zat dan pelbagai sakit lain yang perlukan rawatan dalam tempoh singkat.

    “Pasukan perubatan terdiri daripada NGO Malaysia dan negara lain hanya dapat memberikan rawatan asas untuk mengurangkan kesakitan dialami.

    “Bagaimanapun, ini diburukkan lagi apabila mereka tidak makan untuk tempoh beberapa hari sebelum ini menyebabkan badan mereka menjadi terlalu lemah terutama kanak-kanak,” katanya kepada Harian Metro.

    Johan Ariff berkata, dia turut berada di laluan masuk pelarian di tebing Sungai Naf dan menyaksikan sendiri bagaimana kesengsaraan pelarian yang sanggup melakukan apa saja untuk tiba di kawasan selamat di sempadan.

    Katanya, sebaik menjejakkan kaki di tanah Bangladesh, mereka disambut saudara-mara yang tiba sebelum itu.

    Sementara itu, dua NGO Malaysia yang memasuki kawasan pelarian semalam mula mengagihkan pek makanan kepada pelarian di beberapa lokasi berdekatan sempadan.

    Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya sudah menyerahkan 500 kampit beras kepada pelarian di kem paling baru di Tankhali dan akan menyediakan lebih banyak lagi bantuan.

    “Insya-Allah kita akan susun agar lebih ramai mendapat manfaat daripada bantuan ini. Kita cuba agihkan sebaik mungkin dengan bantuan gabungan NGO di sini,” katanya yang akan berada di sana sehingga hujung minggu ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelarian Rohingya DIkejar Ambang Maut "