• Pelarian Hanya Makan Daun

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+


    Hanya minum air dan makan daun untuk mengalas perut dan meneruskan hidup. Situasi itu dapat dilihat di sepanjang laluan ke sempadan Bangladesh di Sungai Naf apabila ribuan pelarian kini menanti makanan sumbangan masyarakat antarabangsa.

    Mereka membawa bersama periuk dan bekas makanan kosong sambil mengendong anak kecil dan meminta makanan daripada petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula tiba di Tankhali dan Balukhali sejak dua hari lalu.

    Keadaan itu diburukkan lagi dengan perebutan makanan sesama sendiri kerana terlalu lapar selepas tiba dari Myanmar sejak tiga hari lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, berdasarkan maklumat diterima di lokasi, keadaan di sekitar kem pelarian begitu daif dan mendesak dengan ramai pelarian menadah air hujan untuk mendapatkan bekalan air bersih.

    Katanya, lebih memilukan apabila ada ibu terpaksa menahan lapar lebih tiga hari untuk memberi laluan kepada anak mendapatkan makanan disumbangkan terlebih dulu.

    “Barangan dibawa sebelum ini termasuk haiwan ternakan seperti ayam sudah pun disembelih dan dikongsi beramai-ramai dan ia habis sekelip mata memandangkan jumlah pelarian begitu ramai.

    “Mereka benar-benar mengharapkan bantuan antarabangsa dan GPM sendiri akan membantu menerusi dana diaktifkan awal minggu ini,” katanya kepada Harian Metro.

    Ahmad Fahmi berkata, setakat ini pihaknya menerima sumbangan orang ramai yang ingin membantu dan akan menyalurkannya melalui NGO di sana dalam masa terdekat.

    “Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam di nombor 14-023-01-002-922-4. Insya-Allah, kita bantu sedaya yang mungkin,” katanya.

    Sementara itu, dua NGO dari Malaysia iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) selamat tiba di Dhaka awal pagi semalam.

    Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan gabungan NGO tempatan bagi menguruskan edaran pek makanan kepada pelarian berhampiran sempadan.

    “Alhamdulillah, setakat ini semua urusan berjalan lancar dan kita harap dapat membantu etnik Rohingya seramai yang mungkin kerana difahamkan, mereka begitu mengharapkan bantuan antarabangsa,” katanya. - HarianMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelarian Hanya Makan Daun "