• Pelancong Malaysia Enggan Pulang Dari Bali

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Enggan pulang kerana masih mahu meneruskan percutian yang sudah ditempah.

    Itu situasi yang berlaku di Bali apabila segelintir pelancong Malaysia enggan pulang meskipun keadaan di sana semakin kritikal.

    Penulis bebas, Sam Raja Aziz berkata, masih ramai rakan dan kenalan senegara berada di sana dan membuat keputusan melanjutkan percutian sehingga letusan.

    “Kebanyakan pelancong Malaysia beranggapan letusan larva daripada Gunung Agung yang terletak di Karangasem tidak akan sampai ke kawasan peranginan yang terletak sejauh 72 kilometer.

    “Sedangkan kami di Ubud turut merasai aktiviti gempa bumi meskipun berada 50 kilometer dari Gunung Agung dan hari ini gempa berukuran 4.3 skala Richter berlaku sekitar 12 tengah hari turut dirasai di sebahagian Denpasar, Karangasem dan Gianyar sejauh 62 kilometer dari Gunung Agung.

    “Saya berharap rakan dan kenalan lupakan sementara percutian di Bali dan pulang ke pangkuan keluarga segera,” katanya yang sudah berada di Bali selama 10 tahun.

    Katanya, letusan Gunung Rinjani pada 2010 mengakibatkan debu dan asap tersebar sehingga ke sebahagian Bali dan tidak mustahil akan menutupi seluruh Bali sekiranya Gunung Agung meletus.

    Sehingga semalam, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia mengeluarkan amaran mengenai letusan yang akan berlaku pada bila-bila masa.

    Gempa bumi terakhir semalam berlaku sebanyak 416 kali dan paling besar berukuran 4.3 skala Richter sehingga menghasilkan ombak setinggi 1.5 hingga 2 meter di Pantai Batu Belig dan jika berterusan mampu mencetuskan tsunami.

    Kejadian berkenaan berpotensi menghasilkan letusan yang lebih dahsyat berbanding tahun 1963.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelancong Malaysia Enggan Pulang Dari Bali "