• Pelakon Ali Ringgo Merempat

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+


    Sedih, sayu dan seakan tidak percaya selepas mengunjungi pondok buruk dikelilingi semak samun, sampah serta barangan kitar semula yang didiami bekas pelakon era 1980-an di Kampung Sungai Pinang, di sini, baru-baru ini.

    Ali Ringgo atau nama sebenarnya Mohamed Ali Matab Din, 65, kini hidup sebatang kara dan hanya mencari rezeki mencari barangan lusuh serta bermain muzik di Pasar Besar Meru, Klang jika keadaan fizikalnya mengizinkan.

    Kemelaratan hidup Pak Ali semakin bertambah selepas dia terbabit kemalangan jalan raya pada 2014 dan kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pendengaran.
    Difahamkan, Pak Ali juga dikategorikan sebagai asnaf fakir yang menerima bantuan tetap zakat RM150 setiap bulan.

    Ketika ditemui di pondok buruknya, Pak Ali mengakui, pernah membintangi beberapa filem termasuklah Jauh Di Sudut Hati, Minah Manja, Bas Konduktor, Pendekar Mata Satu, Azura, Gila-Gila Remaja dan Panglima Badul bersama ramai pelakon popular ketika era 1980-an hingga 1990-an.

    Antara pelakon yang sezaman dengannya seperti Datuk Yusof Haslam, Allahyarham M Rajoli, Dayangku Intan, AR Badul dan ramai lagi.

    Pak Ali berkata, sejarah pembabitan dalam bidang seni bermula apabila ditawarkan berlakon ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada awal 1980-an.

    “Masa itu, saya tinggal di Pantai Dalam, duduk bujang dan berusia awal 30-an. Ketika bekerja di Sungai Wang Plaza, ramai pengarah terkenal dan pelakon menjadikan lokasi itu sebagai tempat penggambaran filem.

    “Orang pertama yang membawa saya ke bidang filem adalah Allahyarham M Osman, bapa kepada pengarah filem Aziz M Osman.

    “Antara filem paling diingati adalah Jauh Di Sudut Hati dan Bas Konduktor dengan pendapatan masa itu hanya RM500 hingga RM600 sebulan.

    “Selepas itu adalah beberapa pengarah lain termasuk Allahyarham Hussein Abu Hassan mempelawa saya berlakon di bawah filem arahannya,” katanya.

    Pak Ali berkata, karier seni sebagai pelakon tidak bertahan lama selepas tiada lagi tawaran menjelang awal 2000 hingga menyebabkannya mencari pendapatan lain bagi menampung kehidupannya.

    “Kehidupan pada ketika itu sederhana, sebab Pak Ali bujang, jadi adalah berniaga jagung rebus untuk tampung pendapatan sebab tawaran berlakon semakin kurang.

    “Saya juga bekas ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 2004 hingga 2006 dan selepas itu saya berhijrah ke Klang untuk mulakan kehidupan baru,” katanya.

    Riak wajah Pak Ali yang sentiasa tersenyum ketika dikunjungi, tidak langsung menggambarkan keperitan hidup yang dialaminya kini.

    Jiwa seni warga emas itu juga dilihat masih tebal meskipun selepas mengalami kemalangan apabila menyimpan album koleksi gambar lama ketika zaman mudanya berkecimpung dalam bidang lakonan, malah turut mengingati beberapa babak di dalam filem berkenaan.

    “Antara babak yang saya masih ingat adalah waktu bergaduh dengan Datuk Yusuf Haslam dalam filem Bas Konduktor, ketika itu dia memegang watak sebagai lelaki jahat.

    “Saya suka berlakon dan waktu membintangi filem itu saya kenang sehingga ke akhir hayat,” katanya.

    Pak Ali juga berbakat bermain pelbagai alat muzik termasuklah bermain gitar yang dijadikan pendapatan sampingannya menghiburkan orang ramai.

    “Dulu masa remaja Pak Ali anggota Orkestra UMNO Ipoh, jadi masa itu berpeluang bermain macam-macam alat muzik, gitar, dram dan lain-lain lagi.

    “Jika keadaan kesihatan baik, setiap pagi saya ke Pasar Besar Meru, Klang untuk menjadi seniman jalanan, sebab saya pun suka menyanyi,” katanya. - HarianMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelakon Ali Ringgo Merempat "