• Pelajar Sekolah Tahfiz Di Indonesia Rela Berkorban Demi IS

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    SUKAJAYA: Hatf Saiful Rasul hanya berumur 11 tahun ketika memberitahu bapanya dia tidak mahu bersekolah lagi kerana hendak berjuang untuk IS di Syria.

    Hasrat itu disuarakan pelajar sekolah tahfiz berasrama penuh, Ibnu Mas’ud, ketika melawat bapanya, Syaiful Anam yang merupakan militan IS, di sebuah penjara berkawalan ketat pada musim cuti sekolah.

    “Pada mulanya saya tidak memberi respons dan menganggap ia hanya gurauan budak kecil. Tetapi, ia berbeza apabila Hatf menyuarakan hasrat itu berulang kali,” tulis Syaiful dalam sebuah karangan sepanjang 12,000 perkataan mengenai anaknya dan agama yang diterbitkan di internet.

    Syaiful berkata, Hatf memberitahu beliau, beberapa rakan dan gurunya dari Ibnu Mas’ud sudah berjuang untuk IS dan “mati syahid di sana”.

    Beliau membenarkan Hatf berjuang untuk IS dan berkata, sekolah terbabit diuruskan “rakan yang berkongsi ideologi sama”.

    Hatf pergi ke Syria bersama beberapa saudaranya pada 2015 dan menyertai sekumpulan pejuang Perancis.

    Tiga pegawai anti-keganasan Indonesia mengesahkan kanak-kanak itu ke Syria.

    Indonesia mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia dengan kebanyakannya mengamalkan Islam sederhana. Tetapi, pihak berkuasa percaya IS mempunyai lebih 1,200 pengikut di Indonesia, dengan kira-kira 500 rakyatnya menyertai perjuangan di Syria.

    Berdasarkan dokumen mahkamah, fail pendaftaran dan temubual bersama bekas militan dan pegawai anti-keganasan, Reuters mendapati Hatf ialah salah seorang daripada sekurang-kurangnya 4 pelajar dan 8 guru Ibnu Mas’ud yang pergi ke Timur Tengah atau cuba ke sana pada 2013 hingga 2016 untuk menjadi pejuang IS.

    Menurut polis anti-keganasan dan dokumen perbicaraan militan yang didapati bersalah, sekurang-kurangnya 18 orang yang dikaitkan dengan sekolah itu disabitkan kesalahan atau kini ditahan atas dakwaan berkomplot dengan militan dan serangan di Indonesia, termasuk 3 serangan maut di negara itu sejak 20 bulan lalu.

    Jumadi yang merupakan jurucakap Ibnu Mas’ud bagaimanapun menafikan sekolah itu menyokong IS atau kumpulan militan lain, atau menyebarkan ajaran Islam melampau.

    Ibnu Mas’ud ialah sebuah daripada 30,000 sekolah tahfiz berasrama di seluruh Indonesia.

    Pegawai kerajaan dan polis Indonesia berkata, kebanyakan sekolah itu mengajar agama Islam dan subjek lain, tetapi sebahagiannya dikaitkan dengan ekstremisme dan bertindak sebagai pusat rekrut.

    ‘Bukan kepakaran kami’

    Ibnu Mas’ud yang ditubuhkan sejak sedekad lalu, didakwa mempunyai kaitan dengan militan.
    Ketua deradikalisasi agensi anti-keganasan Indonesia, Irfan Idris menyalahkan undang-undang dan birokrasi lemah atas kekurangan tindakan terhadap sekolah sedemikian.

    “Pada dasarnya, ia bukan bidang kepakaran kami, ia adalah bidang kuasa kementerian agama.

    “Kami sudah memaklumkan kementerian itu mereka mempunyai masalah dengan Ibnu Mas’ud.”

    Mengenai kaitan sekolah tahfiz itu dengan militan dan kenapa ia tidak ditutup, Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia, Kamaruddin Amin berkata, Ibnu Mas’ud tidak pernah didaftarkan sebagai sekolah tahfiz.

    Jumadi turut mengesahkan sekolah itu tidak berdaftar dengan kementerian itu.

    Kamaruddin berkata, kerajaan tempatan “sudah meminta penjelasan mengenai status pengajaran mereka, tetapi tiada respons diberikan”.

    Jumadi mengesahkan perbincangan diadakan dengan pegawai kerajaan tempatan mengenai pengajaran di sekolah itu, baru-baru ini.

    “Kami tiada kurikulum,” katanya merujuk penekanan terhadap pengajaran al-Quran.

    “Kami fokus kepada tahfiz, hafazan al-Quran dan hadis. Kami ajar bahasa Arab, akidah dan sejarah Islam.”

    Jumadi berkata, Hatf belajar di Ibnu Mas’ud, tetapi beliau tidak tahu sebab kanak-kanak itu meninggalkan sekolah berkenaan.

    Katanya, beliau juga tidak tahu jika ada kakitangan atau pelajar lain menyertai perjuangan IS di Syria, selain 3 guru dan seorang pelajar yang ditahan di Singapura tahun lepas.

    Mustanah yang merupakan bekas pelajar sekolah itu, diusir dari Iraq Ogos lalu. Dia memberitahu polis, beberapa bekas pelajar Ibnu Mas’ud sudah ke Syria.

    Ibnu Mas’ud terletak di Kampung Sukajaya, kaki Gunung Salak, 90km dari selatan Jakarta. Ia mempunyai sebuah kompleks usang yang dilengkapi bilik darjah, asrama dan bilik solat yang boleh memuatkan 200 pelajar dari peringkat rendah hingga menengah rendah.

    Wartawan Reuters ke sekolah di Jawa Barat itu Jun lalu, tetapi tidak dibenarkan melawat premisnya, sebelum diminta meninggalkan kawasan terbabit.

    Dalam sebuah masjid yang menjadi sebahagian kompleks itu, kanak-kanak lelaki berjubah Arab dan berkopiah duduk dalam bulatan sambil memegang al-Quran, sementara menunggu pengajaran bermula.

    Di bahagian laman pula, kanak-kanak perempuan bertudung yang kelihatan tidak lebih 5 atau 6 tahun sedang bermain.

    Berjuang demi agama

    Reuters sempat menyaksikan sebuah rakaman video, sebelum dikeluarkan daripada YouTube. 
    Pengetua sekolah tahfiz itu, Masyahadi berkata, institusi itu menyokong fahaman Wahabi, atau apa yang kerap dirujuk penyokongnya sebagai “Salafi”.

    “Ibnu Mas’ud memastikan kanak-kanak Islam memahami agama mereka dengan betul untuk menjadi generasi yang memahami dan berjuang untuk agama,” kata Masyahadi.

    Ditanya jika berjuang untuk agama termasuk menggunakan senjata, Jumadi berkata, “ia memerlukan perbincangan lanjut untuk menjawab soalan itu”.

    Berdasarkan dokumen dibentangkan di mahkamah, Ibnu Mas’ud ditubuhkan Aman Abdurrahman di Depok, sebuah bandar di Jakarta pada 2007. Polis Indonesia melabelkan Aman sebagai ulama radikal dan kini dipenjarakan.

    Surat ikatan penubuhan yayasan yang menguruskan Ibnu Mas’ud menyenaraikan 3 individu dalam kalangan eksekutifnya yang dipenjarakan bersama Aman kerana menubuhkan pusat latihan militan di Aceh pada 2009.

    Bekas militan, Sofyan Tsauri yang menderma kepada Ibnu Mas’ud berkata, sekolah itu “untuk kanak-kanak ikhwan (pejuang Islam)” belajar dan ia juga berperanan sebagai rumah selamat buat pelarian Islam.

    Dulmatin yang diburu pihak berkuasa dengan ganjaran AS$10 juta kerana terbabit dalam pengeboman di Bali yang meragut 202 nyawa pada 2002, bersembahyang di Ibnu Mas’ud ketika dia melarikan diri, menurut dokumen mahkamah berkaitan perbicaraan Abdurrahman dan 3 eksekutif yayasan itu di Aceh. Dulmatin dibunuh polis pada 2010.

    Selepas perbicaraan itu, Ibnu Mas’ud berpindah dari Depok pada 2010, tetapi turut berdepan masalah di lokasi sekarang, apabila seorang guru cuba membakar kain rentang bagi meraikan Hari Kebangsaan Indonesia pada 17 Ogos.

    Kejadian itu disahkan polis dan penduduk tempatan.

    Ketua Kampung Sukajaya, Wahyudin Sumardi berkata, masyarakat setempat mula curiga dengan aktiviti yang diadakan sekolah itu.

    “Setiap kali kejadian pengganas berlaku di tempat lain, pihak berkuasa akan datang. Saya tidak selesa dengan situasi ini,” katanya dipetik Reuters, Julai lalu.

    Pihak berkuasa tempatan meminta Ibnu Mas’ud keluar dari kawasan itu menjelang 17 September ini, susulan aduan penduduk kampung.

    Tetapi, Jumadi berkata, mereka sedang berunding untuk mengelakkan pemindahan sekolah itu dan ia akan mencari lokasi baru, jika dipaksa berpindah.

    ‘Mujahid kecil yang periang mati syahid’

    Sekolah tahfiz mempunyai sejarah lama di Indonesia, di mana ia merupakan pendidikan utama bagi kebanyakan orang miskin dan penduduk di kawasan pedalaman.

    Walaupun sistem pendidikan Indonesia sudah dimodenkan dan sekolah sekular dikendalikan kerajaan diperkenalkan, sekolah tahfiz berasrama penuh masih penting.

    Kamaruddin berkata, Kementerian Hal Ehwal Agama sedang merangka dasar baru untuk menyeragamkan kurikulum sekolah tahfiz dan mengawal kelulusan mereka. Tiada dasar diumumkan setakat ini.

    Syaiful yang merupakan bapa Hatf melalui ulasan tulisan tangan kepada Reuters bagi menjawab soalan dibangkitkan dalam satu perbicaraan mahkamah di Jakarta, Julai lalu, berkata beliau bangga dengan anaknya.

    Gambar yang dilihat Reuters, katanya, diambil di Syria dan dimuat naik ke media sosial oleh Hatf. Ia menunjukkan remaja itu sedang makan bersama lelaki dewasa, dengan sekeping lagi gambar menunjukkan dia sedang memegang senapang AK-47 yang hampir sama panjang dengan ketinggiannya.

    Syaiful berkata, Hatf boleh meleraikan senapang itu dalam masa 32 saat. Dia turut dibekalkan pistol 9mm, 2 bom tangan, sebilah pisau komando dan kompas.

    Melalui akaun bapanya yang memetik mesej dihantar anaknya, Hatf berjaya mengharungi 1 serangan udara dengan hanya cedera di telinga dan hilang pendengaran.

    Pada 1 September 2016, 2 bulan menjelang hari jadinya ke-13, Hatf berdepan satu lagi serangan udara. Sejurus selepas itu, kematian 3 rakyat Indonesia diumumkan IS berdekatan bandar Jarabulus di Syria.

    “Mujahid kecil yang periang itu meninggal dunia. Tubuh kecilnya dimusnahkan bom,” tulis Syaiful.
    “Saya tidak sedih atau merasai kehilangannya, kecuali sedikit sedih sebagai bapa yang ditinggalkan anak kesayangannya.

    “Sebaliknya, saya gembira kerana anak saya mati syahid, insya Allah,” kata Syaiful kepada Reuters dalam nota yang beliau sediakan pada perbicaraan mahkamah. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar Sekolah Tahfiz Di Indonesia Rela Berkorban Demi IS "