• Pegawai Bank Ugut Bakar Stesen Minyak

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: Seorang pegawai bank didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah mengugut mahu membakar stesen minyak, hujung minggu lalu.

    Majistret Salamiah Salleh yang menjatuhkan hukuman itu ke atas S Shashitaran, 29, turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda terbabit.

    Tertuduh didakwa atas tuduhan menakutkan secara jenayah terhadap pembantu stesen minyak, Muhammad Daniel Roslan, 20, dengan berkata mahu membakar stesen minyak itu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di stesen minyak Shell, Lebuhraya Damansara Puchong, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 17 September lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Peguam tertuduh, Zawahrul Haq, memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

    Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana perbuatan tertuduh yang mahu membakar stesen minyak itu boleh membahayakan pekerja dan pelanggan di situ.

    Mengikut fakta kes, pengadu yang sedang bertugas di tempat kejadian didatangi tertuduh dalam keadaan mabuk menaiki sebuah kereta dan memintanya untuk mengisi minyak RM20.

    Apabila minyak selesai diisi, tertuduh tidak mahu membayar dan menolak serta mengugut mahu membakar stesen minyak itu dengan pemitik api miliknya.

    Pengadu berjaya menghalang tertuduh dan kemudiannya membuat laporan polis. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pegawai Bank Ugut Bakar Stesen Minyak "