• PBB Dapat Akses Ke Rakhine

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    NEW YORK: Wakil daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan dibenarkan melawat Rakhine di Myanmar hari ini buat kali pertama sejak permulaan penghijrahan beramai-ramai minoriti Muslim Rohingya.

    PBB menuntut akses ke negeri itu oleh kerana pertubuhan kebajikan miliknya terpaksa berundur dari Rakhine apabila tentera Myanmar melancarkan operasi ke atas pemberontak Rohingya akhir Ogos lalu, menyebabkan ratusan ribu etnik itu lari ke Bangladesh.

    "Ada lawatan dianjurkan kerajaan, kemungkinan esok (Khamis) ke Rakhine. Kami berharap ia menjadi langkah pertama ke arah akses lebih bebas dan meluas ke kawasan itu," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam taklimat harian.

    Beliau berkata, ketua agensi PBB akan turut mengambil bahagian.

    PBB sudah menggariskan satu pelan kontingensi untuk memberi bantuan makanan kepada hampir 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar dan memberi amaran, sesiapa yang melarikan diri tidak dapat pulang semula dalam tempoh terdekat.

    "Semua agensi PBB kini membangunkan pelan untuk kemasukan baharu sebanyak 700,000 orang. Kami boleh menampung keperluan jika kemasukan baharu mencecah 700,000 orang," kata Timbalan Ketua Program Makanan Dunia (WFP) di Bangladesh, Dipayan Bhattacharyya semalam.

    Ketua agensi pelarian PBB Filippo Grandi berkata, bagi mereka yang lari ke Bangladesh, 'untuk kembali ke tanah air memerlukan masa, jika keganasan dihentikan.'

    Kunjungan hari ini terhadap wakil PBB berlaku hari sama Majlis Keselamatan PBB bertemu untuk membincangkan situasi di Myanmar.

    Pada 13 September lalu, majlis itu menuntut 'langkah segera' menamatkan keganasan di Myanmar dan melahirkan kebimbangan berhubung 'kekerasan melampau' digunakan tentera. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Dapat Akses Ke Rakhine "