• Patutnya Belajar Tapi Jadi Tokan Dadah

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    Polis menahan dua penuntut lelaki dari universiti swasta di Cyberjaya kerana memiliki dan dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam kalangan mahasiswa di sekitar kawasan berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua suspek yang ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Sepang itu berumur lingkungan 18 tahun dan 21 tahun.

    "Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan seorang lelaki pada Isnin lalu kira-kira jam 5.10 petang di sekitar Cyberjaya, Selangor dan hasil pemeriksaan ke atas penuntut terbabit polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat tujuh gram.

    "Ekoran daripada penahanan itu, suspek membawa pihak polis ke sebuah bilik di asrama milik universiti terbabit bagi menahan seorang lagi suspek yang juga rakannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

    Katanya, polis berjaya membuka pintu utama bilik berkenaan dengan menggunakan anak kunci yang dirampas dari suspek.

    "Hasil serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lagi penuntut lain dan suspek turut menyerahkan satu bekas tin yang mengandungi 45 paket plastik lutsinar yang mengandungi ganja seberat 210 gram.

    "Suspek juga turut menjalani ujian saringan awal dan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC)," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Patutnya Belajar Tapi Jadi Tokan Dadah "