• Pasar Malam Debak, Bantu Jana Ekonomi Masyarakat Setempat

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    DEBAK: Penganjuran Pasar Malam Debak merupakan wadah terbaik untuk membantu penduduk setempat menambah pendapatan serta membantu menggalakkan aktiviti ekonomi usahawan tempatan.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N35 Saribas, Pasar Malam Debak yang berlokaliti di Dataran Terminal Bas Lama dirancang sebagai aktiviti bulanan bagi menjadikan Pekan Debak sebagai pusat perkembangan aktiviti sosial budaya tempatan serta titik mula bagi memperbesarkan aktiviti perniagaan penduduk setempat.

    "Penganjuran pada minggu ini merupakan penganjuran kali ke dua selepas bulan lepas.

    "Menurut perancangan, Pasar Malam Debak akan berlangsung selama tiga hari pada minggu terakhir setiap bulan dengan sasaran pengunjung sekitar 1,000 orang setiap malam.

    "Istimewanya minggu ini ia akan berlangsung selama lima hari sempena penganjuran Pesta Persatuan Sukan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Ke-37 di Betong yang turut menggunakan Pekan Debak sebagai venue bagi acara Sepak Takraw dan Futsal Veteran" katanya.

    Razi menjemput penduduk yang tinggal sekitar kawasan Debak supaya datang dan berkunjung bagi memeriahkan suasana.

    "Usahawan tempatan yang berminat menceburi bidang perniagaan harus menggunakan peluang ini untuk menambah pengalaman umumnya dan pendapatan khasnya.

    "Sumbangan dan kerjasama dari semua pihak amatlah di alu-alukan bagi membantu menggerak dan membangunkan ekonomi penduduk kawasan," ujarnya.

    Dalam pada itu, Razi turut menyeru agar peniaga-peniaga kecil supaya mengambil kesempatan ini sebagai anjakan positif bagi meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka.

    Selain kehadiran artis tempatan, pelbagai peraduan turut dipertandingkan seperti karaoke lagu bebas, karaoke lagu 60-an, ratu kebaya, fesyen kanak-kanak, bertandak dan tarik tali.

    Pasar Malam Debak yang dianjurkan oleh Persatuan Penjaja Dan Usahawan Debak dengan kerjasama daripada Pusat Khidmat DUN Saribas, Majlis Daerah Debak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 30 buah kanopi bagi kegunaan peniaga pasar malam tersebut. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pasar Malam Debak, Bantu Jana Ekonomi Masyarakat Setempat "