• Pakej Kewangan Untuk Tangani Masalah Sekolah Daif

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+

    SIBU: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan mengemukakan cadangan pakej kewangan sesuai untuk mengurangkan kos pembinaan sekolah di negeri ini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pakej kewangan itu termasuk kaedah pembinaan untuk mempercepat tempoh pelaksanaan projek menaik taraf dan pembinaan bangunan baharu.

    "Langkah itu perlu teliti bagi menangani masalah sekolah daif yang dihadapi di negeri ini kerana projek menaik taraf dan membina semula bangunan sekolah ketika ini memerlukan kos yang agak tinggi.

    "Sebab itu kita perlu meneliti formula tertentu agar pembinaan sekolah dapat dijalankan dalam tempoh sesingkat yang mungkin," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Sibu selepas meninjau dua sekolah usang, Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Salim, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon.

    Ahmad Zahid berkata, pada mesyuarat yang diadakan di Hotel RH di sini, malam tadi, Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri Sarawak mencapai keputusan untuk mengemukakan cadangan penyelesaian sekolah daif di negeri ini, pada awal Oktober ini.

    "Kerajaan negeri Sarawak mencadangkan agar pembinaan dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun dengan kaedah konvensional dan penggunaan sistem terbaru termasuk IBS.

    "Cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Ekonomi akan datang yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

    Beliau berkata, terdapat tiga kategori sekolah daif di negara ini iaitu DS3 bagi sekolah yang mengalami kerosakan sebanyak 75 peratus dan berusia lebih 50 tahun, DS2 pula ialah sekolah yang berada pada tahap kurang dari 50 peratus kerosakan dan berusia sekitar 40 tahun manakala DS1 pula ialah 25 peratus bangunan sekolah uzur. - BHOnline

    Foto: BERNAMA
  • No Comment to " Pakej Kewangan Untuk Tangani Masalah Sekolah Daif "