• Pakatan Duterte, Najib, Jokowi Tangani Pengganas

    Published: Monday, 4 September 2017
    A- A+


    DAVAO CITY – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, akan bertemu dengan pemimpin Malaysia dan Indonesia bagi memformalkan perincian pakatan antikeganasan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

    Dalam temu bual bersama media lewat tengah malam Ahad, Duterte berkata, beliau, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sudah bersetuju untuk bertemu di kawasan berhampiran Filipina seperti Sabah dan Jakarta.

    “Kami bersetuju untuk berbincang, ketiga-tiga kami. So naghintay lang kami ng timing (Kami cuma menunggu masa yang sesuai),” katanya dalam temu bual dengan pemberita di luar sambutan hari lahir Anggota Perwakilan Davao City, Karlo Nograles.

    Duterte berkata, kemungkinan besar pakatan itu membabitkan penubuhan pasukan petugas khas bersama untuk menjejaki anggota ISIS.

    “Saya akan buka sempadan negara saya kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia. Saya akan laksanakan… mereka akan diberi akses,” katanya dipetik berkata oleh PNA.

    Menurut Presiden itu, mesyuarat sudah diusahakan dan hanya perlu diformalkan.

    “Kita perlu berjumpa secara berdepan dan bersetuju dengan agenda perbincangan itu.

    “Saya cuma boleh berada di sana mungkin untuk sehari dua. Buat masa sekarang tidak boleh, saya tidak ada masa sekarang kerana saya perlu tangani masalah yang serius di sini,” katanya.

    Duterte berkata, beliau juga perlu melawat Marawi lebih kerap sehingga krisis berakhir.

    Katanya beliau turut melihat situasi di bahagian lain di Mindanao seperti Buldon dan Maguindanao, yang berdepan pertempuran setiap hari.

    “Saya tidak tahu bagaimana perkara ini berlaku tetapi saya mahu mengekang semua ini menjelang hujung tahun,” katanya.

    Semasa ulang tahun ke-11 Eastern Mindanao Command di Davao City pada Jumaat lalu, Duterte berkata, beliau menimbang untuk menarik balik undang-undang tentera.

    “Tengok dulu. Jika ia dilakukan untuk kepentingan negara, saya akan tarik balik. Akan tetapi jika tidak, kita akan teruskan dengan pemerintahan tentera,” katanya.

    Duterte bagaimanapun memberi jaminan, beliau akan mengusahakan proses damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro serta Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro.

    “Jika kita tidak dapat menyusun semula struktur politik yang memenuhi keperluan semua orang dan menunaikan permintaan mereka kerana ia permintaan sah, Mindanao akan berperang sepanjang masa,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Duterte, Najib, Jokowi Tangani Pengganas "