• Neymar, Cavani Rebut Ambil Penalti

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    PARIS: Paris Saint-Germain mengekalkan rekod sempurna mereka musim ini namun kemenangan 2-0 ke atas Lyon Ahad lalu turut mencetus ketegangan dalam kalangan bintang serangan mereka.

    PSG mendahului 1-0 di Parc des Princes apabila mereka mendapat sepakan penalti 10 minit sebelum tamat berikutan kekasaran ke atas Kylian Mbappe, yang melakukan penampilan sulung di laman sendiri.

    Sesudah menjaringkan tiga gol menerusi penalti musim ini, Edinson Cavani berasakan tugas itu menjadi miliknya sekali lagi.

    Neymar cuba mendapatkan bola daripada pemain Uruguay itu namun Cavani tetap mengambilnya. Percubaannya diselamatkan apabila Anthony Lopes menumbuk bola itu melepasi palang.

    “Tendangan penalti diambil beberapa pemain, seorang Cavani dan seorang lagi Neymar. Perlu ada persetujuan bersama di tengah padang untuk menentukan siapa mengambil sepakan penalti,” akui jurulatih Unai Emery kemudian.

    “Kami akan menyelesaikan masalah ini secara dalaman selepas ini kerana saya fikir kedua-duanya mampu mengambil sepakan itu dan saya mahu kedua-duanya bergilir-gilir mengambilnya.”

    Komen itu dan hakikat Cavani gagal menyempurnakan sepakan itu menyebabkan Neymar mungkin mendapat peluang selepas ini.

    Cavani cuba mengendurkan sebarang perbalahan apabila memberitahu radio Uruguay perkara itu berlaku sepanjang masa dalam bola sepak.

    “Saya tidak tahu kenapa orang percaya dengan cerita sebegini. Hakikatnya perkara sebegini biasa, sesuatu yang berlaku dalam bola sepak,” kata Cavani.

    “Sebenarnya tiada sebarang masalah pun. Dia (Neymar) baru saja tiba, dia pasti akan mendapat peluang lebih banyak lagi. Seperti saya katakan sejak awal, kami positif dan bersedia membantunya menyesuaikan diri sebaik mungkin. Saya fikir dia sudah menyesuaikan diri dengan cepat,” ujarnya.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Neymar, Cavani Rebut Ambil Penalti "