• Netizen Puji Kejujuran Pekerja Pembersihan Pulang Wang Ditemui Dalam Longgokan Sampah

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    Netizen memuji kejujuran sembilan pekerja syarikat konsesi pembersihan di Baling, Kedah memulangkan wang tunai RM2,379.80 yang dijumpai mereka kepada pemiliknya, seorang warga emas, semalam.

    Kejujuran pekerja-pekerja syarikat Environment Idaman (E-Idaman) mendapat perhatian netizen selepas berita mengenai mereka dimuat naik di laman Facebook dan menjadi tular.

    Menurut netizen, pada hari ini sukar untuk menemui insan yang berhati mulia seperti pekerja-pekerja terbabit kerana mereka tidak gelap mata apabila menemui ribuan wang dan memulangkan kepada pemilik asalnya.

    “Mereka memilih kerja yang kotor, tetapi mereka memiliki hati yang bersih. Jauh berbanding mereka yang bekerja di tempat yang bersih, tetapi memiliki hati yang kotor. Suka (menerima) rasuah, komisyen dan menaikkan harga,” demikian tulis pengguna Facebook, Mohd Shafiza.

    “Walaupun mereka miskin tapi mereka kaya keimanan dan sifat kemanusiaan. Walaupun mereka kaya (pemimpin atasan), tapi mereka tamak,” kata Kedah Liridon, menggambarkan sikap segelintir masyarakat sekarang berbanding dengan sembilan pekerja E-Idaman.

    Malah, segelintir netizen turut mencadangkan supaya pihak syarikat memberikan anugerah dan penghargaan kepada pekerja-pekerja terbabit di atas sikap terpuji mereka.

    “Syarikat E-Idaman patut beri anugerah atau saguhati kepada mereka. Susah nak cari pekerja yang jujur seperti mereka,” kata Nabawi Ishak.

    Foto: FacebookFoto: Facebook

    Ketua Unit E-Idaman Baling, Shazwan Shahbudin dipetik Harian Metro sebagai berkata, dalam kejadian semalam (Rabu) pihaknya menerima panggilan daripada salah seorang anak warga emas itu, Aminah Yahya yang berusia 60-an untuk membersihkan rumah ibunya di Taman Seri Mawar, Kampung Landak, Kupang.

    Syazwan berkata, menurut anak warga emas itu yang kini tinggal di Kuala Lumpur, ibunya suka mengumpul barang terbuang di dalam rumah, dan sebaik menerima panggilan tersebut beliau mengarahkan pekerjanya untuk pergi membersihkan kawasan sekitar rumah itu.

    Tambah Syazwan, sebaik sahaja sampah-sarap tersebut dikutip dan dimasukkan ke dalam lori, warga emas itu merungut, duit yang disimpannya di dalam beg plastik bersama longgokan sampah telah hilang.

    "Sembilan pekerja saya kemudian cuba mencari dalam longgokan itu, namun tidak jumpa sebelum membawa longgokan plastik dan barang terbuang itu ke pusat pembuangan sampah di Pulai.

    "Selepas membersih satu persatu mereka menjumpai satu bungkusan plastik dengan wang berjumlah RM2,379.80," katanya, memetik akhbar tersebut.

    Beliau berkata, wang tersebut dipercayai disimpan warga emas itu di dalam bungkusan plastik sekian lama kerana sudah berlumut dan pudar.

    Mereka telah memulangkan wang tersebut kepada warga emas itu, semalam.

    Sementara, dua pekerja syarikat tersebut, Mohd. Holfi Mustafa Kamal, 30, dan rakannya Azizan Zakaria, 42, yang menemui wang itu berkata mereka melakukan tindakan tersebut atas sikap amanah dan memikirkan nasib warga emas itu.

    “Kami menjumpai wang berjumlah RM2379.80 di dalam satu bungkusan plastik hitam ketika melakukan kerja pengasingan sampah di tapak pelupusan ini.

    “Saya dan rakan amat terkejut kerana jumlahnya agak banyak dan keadaan wang itu agak berbau dan basah,” kata Mohd. Holfi, seperti dilapor Utusan Online.

    Semoga kejujuran pekerja-pekerja E-Idaman menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Netizen Puji Kejujuran Pekerja Pembersihan Pulang Wang Ditemui Dalam Longgokan Sampah "