• Nak Rasa Pengalaman Ditanam Hidup-Hidup, Lelaki Maut Dihempap Keranda

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+


    Hasrat seorang pemuda untuk merasai pengalaman ‘ditanam hidup-hidup’ di sebuah taman tema hantu bertukar tragis apabila mangsa meninggal dunia akibat dihempap keranda di Hong Kong, kelmarin.

    Mangsa, dikenali sebagai Cheung, 21, ditemui tidak sedarkan diri selepas lima minit memasuki taman tema ‘Buried Alive’, lapor media antarabangsa.

    Lelaki itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Ruttonjee sekitar jam 2 petang, waktu tempatan.

    Difahamkan, Cheung dan beberapa rakannya mengunjungi taman tema hantu terbesar di Hong Kong itu sempena lawatan yang dianjurkan oleh syarikatnya dan menjadi antara kumpulan pengunjung terawal yang dibenarkan untuk merasai pengalaman berada di dalam keranda mekanikal itu.

    Mengikut laporan media lagi, mangsa dipercayai memasuki kawasan larangan sebelum dilanggar oleh mesin tersebut.

    “Kawasan di mana dia ditemui sepatutnya menjadi tempat untuk kakitangan kami menjalankan kerja penyelenggaraan,” kata pengarah taman tema tersebut, Eva Au Yeung Yee-wah.

    Sementara, pihak berkuasa mengarahkan taman tema tersebut ditutup sementara waktu untuk orang ramai sehingga siasatan berhubung kes itu selesai.

    Ketua Panel Keadilan dan Perkhidmatan Undang-Undang Priscilla Leung Mei pula berkata, pasukan penyiasat akan melihat sama ada papan tanda yang disediakan di dalam taman tema hantu itu jelas dan berkesan, tempat yang digambarkan sebagai gelap serta meninggalkan pengunjung dalam keadaan ketakutan.

    Buried Alive yang akan mula beroperasi pada 5 Oktober ini adalah sebahagian taman hiburan yang diperkenalkan Ocean Park sempena sambutan Halloween tidak lama lagi.

    Pengunjung yang memasuki taman tema tersebut akan menaiki keranda bergerak melalui rumah hantu dan laluan berliku yang menyeramkan, lapor media. - malaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Nak Rasa Pengalaman Ditanam Hidup-Hidup, Lelaki Maut Dihempap Keranda "