• Najib Komited Terus Bangunkan Sarawak

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat komited untuk terus membangunkan Sarawak dengan pencapaian membuktikan Barisan Nasional (BN) membawa arus pembangunan di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.

    Sambil memberi contoh, beliau berkata Kapit yang sebelum ini merupakan sebuah ‘pulau dalam Pulau Borneo’ dan hanya boleh diakses melalui pengangkutan air di Sungai Rejang bakal boleh diakses dengan jalan darat setelah projek pembinaan Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu siap nanti

    Selain itu, beliau berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer dari Sabah ke Sarawak mampu memangkinkan pembangunan secara menyeluruh di Sarawak.

    “BN bukan sahaja janji tetapi BN telahpun melaksanakan dan membawa perubahan di Sarawak termasuk di kawasan pedalaman,” katanya pada majlis jamuan bersama ketua-ketua kaum Sarawak di Seri Perdana di sini, hari ini.

    “Saya telah meluluskan kira-kira RM2 bilion untuk projek-projek di Sarawak sejak saya menjadi perdana menteri… selain itu, (saya) diberitahu bahawa lawatan saya ke Sarawak adalah lebih kerap malah jauh melebihi bilangan seorang bekas perdana menteri.

    ”Saya komited untuk terus membangunkan Sarawak agar terus maju dan berjaya setanding (negeri-negeri di) Semenanjung… saya bukan berjanji sesuatu tetapi fakta membuktikannya,” kata Najib sambil disambut tepukan gemuruh daripada ketua-ketua kaum yang menghadiri majlis itu.

    Kira-kira 160 ketua kaum daripada kawasan Parlimen Kanowit, Kapit dan Hulu Rajang diketuai Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing bertemu Najib di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, lokasi beliau meraikan pemimpin-pemimpin dunia berpengaruh seperti Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Presiden China Xi Jinping dan bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

    Pada majlis itu, ketua-ketua kaum juga menzahirkan sokongan dan keyakinan terhadap kerajaan BN yang telah membawa pembangunan di Bumi Kenyalang.

    Najib berkata kejayaan BN menyebabkan rakyat Sarawak yakin dan tolak janji-janji manis pembangkang yang hanya mahu meraih sokongan.
    “BN bukan sekadar janji malah melaksanakan dengan berjayanya,” kata perdana menteri.

    Sementara itu, Masing merakamkan penghargaan kepada perdana menteri yang membawa pembangunan di Sarawak khususnya di kawasan Hulu Rajang, Kapit dan Kanowit.

    “Kekerapan Perdana Menteri Najib (melakukan lawatan) ke Sarawak khususnya ke Kapit dan Kanowit kerana beliau mahu melaksanakan apa yang telah dipinggirkan selama 22 tahun lepas semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

    “Bagi kami, ini adalah masa untuk kerajaan Persekutuan ‘membayar balik’ apa yang telah dipinggirkan dan dibiarkan selama 22 tahun. Sebab itu kenapa kami berada di sini hari ini iaitu untuk mengucapkan terima kasih terhadap apa yang beliau (Najib) lakukan untuk kami,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Komited Terus Bangunkan Sarawak "