• Najib Gariskan Inisiatif Untuk Transformasi Tvet

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan beberapa inisiatif untuk mentransformasikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, termasuk membangunkan pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan.

    Beliau berkata pelan induk itu bakal diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu kementerian lain yang berkaitan dengan TVET seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

    Bagi inisiatif kedua, perdana menteri berkata kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi tujuan TVET.

    "Untuk makluman semua, PSMB telah memperuntukkan 30 peratus daripada levi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul atau pool fund bagi melaksanakan program-program strategik sebagai satu usaha menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia," katanya ketika melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Najib berkata bagi mentransformasikan TVET, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada Revolusi Industri 4.0 dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.

    Beliau berkata bagi menyokong revolusi ini, kerjasama turut diadakan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran, politeknik, universiti dan pertubuhan majikan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM75 juta.

    "Di samping itu, kerajaan juga akan mengkaji semula kadar dan caj berkaitan pemfailan harta intelek serta insentif yang sesuai bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dihasilkan terutamanya melalui institusi TVET," katanya.

    Perdana Menteri berkata modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting dalam transformasi ekonomi negara dan berfungsi menutup jurang kemahiran yang dihadapi, khususnya oleh industri.

    Makanya, beliau berkata dalam menuju negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan komited dalam menganjak lima lonjakan transformasi TVET termasuk melatih 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah atau B40 bermula sekarang sehingga tahun 2025.

    Golongan B40 ini, menurut Najib, turut merangkumi penduduk di luar bandar, masyarakat miskin di bandar, Orang Asli, pelajar lepasan sekolah termasuklah mereka yang tercicir, ibu tunggal dan penganggur.

    "Kerajaan juga bercadang nak perkenal TVET kepada pelajar-pelajar tahfiz sebagai tambahan kebolehan mereka, di mana selain menghafal Al-Quran mereka akan mempunyai kemahiran dalam TVET.

    "Pada masa sama, mulai sekarang sehingga tahun 2025, kerajaan sedang berusaha melatih dan meningkatkan bilangan tenaga pengajar terlatih dalam bidang TVET, dengan menyasarkan 20,000 orang lagi tenaga pengajar vokasional, sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan bilangan lulusan TVET.

    "Selain itu, tenaga pakar dalam bidang TVET juga akan ditambah bilangannya seramai 4,000 orang lagi dalam pelbagai bidang TVET menjelang tahun 2025," katanya.

    Bagi lonjakan kedua, Najib berkata kerajaan komited untuk memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik perkongsian awam-swasta atau antara TVET awam serta pihak industri bagi membentuk sinergi terutama dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

    Kerjasama strategik ini, jelasnya, boleh direalisasikan dalam pelbagai bentuk seperti industri menyumbang kepakaran atau mesin dan peralatan dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu yang amat diperlukan oleh pasaran industri.

    "Ketiga, bagi lulusan bidang TVET, peluang kerjaya sebenarnya tidak hanya terhad untuk bekerja di dalam industri, malahan lulusan TVET juga boleh menceburi bidang perniagaan, khususnya technopreneurship atau menjadi usahawan tekno dalam bidang teknikal.

    "Bagi lonjakan keempat, dalam Bajet 2017 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan geran padanan, di mana peruntukan kewangan diberi pada nilai yang setara dengan nilai sumbangan yang diterima daripada pihak industri bagi program-program TVET berimpak tinggi. Pastinya geran ini boleh dimanfaatkan dalam usahasama di antara agensi awam dan pihak swasta untuk melatih serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

    Yang kelima, dalam menganjak lonjakan transformasi TVET adalah dengan menjenamakan institusi TVET di negara ini menjadi TVET Malaysia, di mana melaluinya kesemua institusi TVET di bawah pelbagai kementerian diseru agar bersatu dan bergabung tenaga sebagai kolaborasi unggul bagi melatih warga Malaysia khususnya anak-anak muda untuk menjadi tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi," katanya.

    Menurut perdana menteri, TVET Malaysia perlu dijadikan sebagai kempen berterusan bagi menarik minat rakyat Malaysia supaya memilih TVET sebagai bidang pilihan utama dalam landasan kerjaya.

    Secara tidak langsung, Najib berkata ini mampu mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering beranggapan bahawa TVET merupakan pilihan kedua atau terakhir serta hanya diceburi oleh mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang baik.

    Bersempena pelancaran TVET Malaysia, perdana menteri turut menghadiri sesi dialog TN50 dengan pelajar-pelajar dari institusi TVET seluruh negara bagi mendapatkan aspirasi mereka dalam bidang pembangunan modal insan di negara ini pada masa depan.

    Majlis itu turut memberi pengiktirafan kepada tujuh Ikon TVET iaitu alumni dari institusi TVET yang telah berjaya dalam kerjaya atau dalam perniagaan yang diceburi.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Gariskan Inisiatif Untuk Transformasi Tvet "