• Najib Gariskan Inisiatif Untuk Transformasi TVET

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan beberapa inisiatif untuk mentransformasikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, termasuk membangunkan pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan.

    Beliau berkata pelan induk itu bakal diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu kementerian lain yang berkaitan dengan TVET seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

    Bagi inisiatif kedua, perdana menteri berkata kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi tujuan TVET.

    “Untuk makluman semua, PSMB telah memperuntukkan 30 peratus daripada levi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul atau pool fund bagi melaksanakan program-program strategik sebagai satu usaha menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia,” katanya ketika melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Najib berkata bagi mentransformasikan TVET, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada Revolusi Industri 4.0 dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.

    Beliau berkata bagi menyokong revolusi ini, kerjasama turut diadakan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran, politeknik, universiti dan pertubuhan majikan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM75 juta.

    “Di samping itu, kerajaan juga akan mengkaji semula kadar dan caj berkaitan pemfailan harta intelek serta insentif yang sesuai bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dihasilkan terutamanya melalui institusi TVET,” katanya.

    Perdana Menteri berkata modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting dalam transformasi ekonomi negara dan berfungsi menutup jurang kemahiran yang dihadapi, khususnya oleh industri.

    Makanya, beliau berkata dalam menuju negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan komited dalam menganjak lima lonjakan transformasi TVET termasuk melatih 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah atau B40 bermula sekarang sehingga tahun 2025. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Gariskan Inisiatif Untuk Transformasi TVET "