• Nadal Raih Kemenangan Ke-50 Terbuka AS

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    NEW YORK: Rafael Nadal mencatat kemenangan ke-50 di Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk menempah tiket ke suku akhir buat kali ketujuh, namun tumpuan terarah kepada pemain remaja sensasi Andrey Rublev dan ratu kebangkitan Kaia Kanepi.

    Pemain nombor satu dunia, Nadal yang mampu menempah pertemuan dengan seteru lamanya Roger Federer buat pertama kali di New York dalam kelompok empat terakhir, menewaskan pemain Ukraine Alexander Dolgopolov 6-2, 6-4, 6-1.

    Pemain 31 tahun Sepanyol itu akan berdepan Rublev di suku akhir selepas remaja 19 tahun dari Russia itu mengejutkan pilihan kesembilan dari Belgium David Goffin 7-5, 7-6 (7/5), 6-3, sekali gus muncul pemain paling muda layak ke suku akhir sejak Andy Roddick pada tahun 2001.

    Nadal, juara edisi 2010 dan 2013, tampil lebih garang berbanding dua perlawanan terakhirnya di mana dia ketinggalan set pertama sebelum bangkit memenangi perlawanan dalam empat set.

    Dalam saingan wanita, pemain ranking 418 dunia dari Estonia, Kanepi mara ke suku akhir kejohanan major buat kali keenam selepas menewaskan Daria Kasatkina dari Russia 6-4, 6-4.

    Kanepi, 32, yang pernah menduduki ranking ke-15 dunia dan menyaksikan kariernya hampir berakhir akibat jangkitan virus yang mampu melumpuhkan, bakal berdepan pilihan keempat dari Ukraine Elina Svitolina atau Madison Keys dari AS. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Nadal Raih Kemenangan Ke-50 Terbuka AS "