• Myanmar tak hadir tribunal

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tribunal antarabangsa berhubung jenayah kemanusiaan terhadap Rohingya, Kachin dan etnik minoriti lain di Myanmar, memasuki hari terakhir perbicaraannya, hari ini.

    Mengikut perjalanan asal Permanent People's Tribunal (PPT) hari ini, wakil kerajaan Myanmar dijadualkan untuk memberi keterangan selaku defendan pada petang ini, bagi membalas dakwaan pembunuhan dan tindakan kejam lain terhadap etnik minoriti di negara itu.

    Bagaimanapun, ketika ini, tiada seorang pun wakil kerajaan Myanmar yang hadir mengikuti prosiding PPT yang bermula jam 9 pagi di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, hari ini, serta pada hari pertama (Isnin) dan kedua (semalam).

    Sehubungan itu, Ketua Hakim, yang juga Pengasas Pusat Penyelidikan Genosid di Argentina, Daniel Feierstein, memutuskan tribunal akan melantik pihak profesional sebagai defenden mewakili kerajaan Myanmar yang tidak hadir, bagi memastikan keadilan pada perbicaraan tribunal itu.

    Sebelum ini, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin, berkata pihaknya selaku pengelola menghantar jemputan kepada Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi; Ketua Tentera Myanmar dan Pejabat Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, namun tiada maklum balas diterima.

    Prosiding pada hari ini diteruskan dengan memanggil saksi pendakwa raya mewakili etnik Rohingya dalam perbicaraan tertutup, sebelum diteruskan dengan beberapa saksi mewakili Muslim Myanmar yang mendakwa turut ditindas kerajaan itu.

    Pada hari pertama dan kedua perbicaraan sebelum ini, barisan panel tujuh hakim telah mendengar keterangan saksi daripada etnik Kachin dan Rohingya serta beberapa pakar dalam bidang berkaitan, antaranya genosid, penyelidik, media dan aktivis hak asasi manusia.

    Isnin lalu, Ketua Pendakwa Raya, Doreen Chen, membacakan empat pertuduhan terhadap kerajaan Myanmar, iaitu jenayah antarabangsa terhadap Muslim Myanmar; jenayah perang dan kemanusiaan terhadap etnik Kachin; genosid serta jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya dan pencabulan hak asasi manusia serius terhadap Muslim Myanmar, Kachin serta Rohingya.

    Hakim dijangka bersidang esok bagi membincangkan segala bukti disediakan pendakwa raya dan hujah defendan, sebelum membuat keputusan pada Jumaat.

    PPT ini adalah kesinambungan prosiding pertamanya berhubung isu kemanusiaan di Myanmar pada 6 Mac lalu di Queen Mary University of London.

    INFO

    Barisan hakim

    1. Pengasas Pusat Penyelidikan Genosid Argentina, Daniel Feierstein

    2. Naib Presiden PPT, Helen Jarvis

    3. Ahli Panel PPT, Gill H Boehringer

    4. Peguam Cara Negara Mahkamah Agung Cassation, Itali, Nello Rossi

    5. Peguam Hak Asasi Manusia Iran, Shadi Sadr

    6. Koordinator Nasional Persatuan Pertubuhan Bantuan Guaman Wanita Indonesia, Nursyahbani Katjasungkana

    7. Pemegang Amanah Yayasan Keamanan Global Perdana, Zulaiha Ismal

    Subjects:

  • No Comment to " Myanmar tak hadir tribunal "