• Myanmar Sekat Agensi Bantuan Dunia

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    YANGON: Sejak tercetusnya konflik terbaharu beberapa hari lalu, selepas ‘kekejaman’ terhadap penduduk Islam Rohingya ‘menyepi buat seketika’, Myanmar yang tidak pernah mengiktiraf kerakyatan etnik berkenaan semakin kejam dan ‘menggila’.

    Hari ini, portal The Guar­dian yang memetik Pejabat Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, Myanmar bertindak menyekat kemasukan semua agensi bantuan yang menyalurkan bantuan penting kepada beribu-ribu orang awam antaranya makanan, air dan perubatan ke kawasan bergolak.

    Bantuan itu disekat atas alasan keselamatan selain peraturan ketat kerajaan terhadap sebarang lawatan ke tempat kejadian.

    “Namun begitu, PBB akan berhubung rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” jelas pejabat penyelaras berkenaan.

    Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Dana Populasi PBB (UNFPA) dan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) telah lebih seminggu tidak me­ngendalikan sebarang tugas di utara Rakhine.

    Program Makanan Sedunia (WFP) turut memaklumkan pihaknya terpaksa menangguhkan agihan makanan menyebabkan hampir 250,000 penduduk di kawasan terbabit tidak mempunyai sebarang bantuan makanan dan berdepan kebuluran.

    Sebanyak 16 pertubuhan bantuan utama termasuk Oxfam dan Save the Children mendakwa kerajaan Myanmar menyekat kemasukan mereka ke kawasan yang bergolak.

    Sementara itu, petugas bantuan PBB di Bangladesh memaklumkan khemah-khemah sementara untuk etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar kini sesak dan telah mencapai kapasiti maksimum.

    Hampir 90,000 penduduk berkenaan telah melarikan diri ke Bangladesh, sekali gus memberi tekanan terhadap agensi bantuan dan masyarakat tempatan yang telah pun memberi bantuan kepada beratus-ratus ribu pelarian Rohingya yang terdahulu.

    Anggaran terbaharu petugas berkenaan di Cox’s Bazar me­nunjukkan hampir 150,000 etnik Rohingya mendapatkan perlin­dungan di Bangladesh sejak Oktober tahun lalu.

    Lebih 50 pelarian Rohingya yang tiba pada Sabtu lalu me­ngalami luka akibat terkena tembakan dan telah dipindahkan ke hospital di Cox’s Bazar manakala kebanyakan pelarian lain memerlukan rawatan akibat pe­nyakit pernafasan, jangkitan dan kekurangan zat makanan.

    Seorang pelarian, Mohammed Hussein, 25, berkata, mereka cuba untuk membina beberapa khemah di kawasan terlibat namun tiada kawasan yang kosong.

    “Tiada pertubuhan bukan kerajaan yang datang ke sini. Kami tidak mempunyai makanan. Beberapa wanita melahirkan anak di tepi jalan. Kanak-kanak yang sakit tidak menerima sebarang rawatan di sini,” jelasnya.

    Dalam pada itu, sebanyak 418 sekolah di tiga bandar utara Ra­khine ditutup ekoran pertempuran berterusan melibatkan kumpulan militan Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA).

    Lapor Jabatan Pelajaran Rakhine, antara sekolah yang ditutup termasuk 183 di Maungtaw, Buthidaung (212) dan sebanyak 23 sekolah di Yathedaung.

    Pada masa yang sama, stesen televisyen BBC menarik balik perjanjian penyiaran dengan sebuah stesen televisyen ter­kenal Myanmar, MNTV berikutan ‘penapisan’ yang berlaku yang difahamkan membabitkan liputan tentang etnik Rohingya.

    Keputusan itu merupakan tamparan terbaharu terhadap kebebasan media di Myanmar dan perubahan hebat terhadap pertubuhan-pertubuhan berita yang sebelum ini memberi liputan meluas kepada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi semasa beliau berada dalam tahanan rumah di bawah pemerintah junta.

    Menurut MNTV, mereka membantah tindakan BBC menggunakan perkataan ‘Rohingya’ dalam laporan yang dibuat.

    Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dijang­ka bertemu dengan Suu Kyi bagi membincangkan tentang bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya selain akan ke Bangladesh untuk mendesak pihak berkuasa negara itu melindungi pelarian Rohingya.

    Pemenang Anugerah Keamanan Nobel termuda, Malala Yousafzai pula menggesa Suu Kyi mengutuk layanan ‘memalukan’ terhadap etnik Rohingya selain menegaskan ‘dunia sedang menunggu’ pemimpin wanita itu untuk bersuara.

    – AGENSI

    Subjects:

  • No Comment to " Myanmar Sekat Agensi Bantuan Dunia "